Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
264) KENAIKAN TARIF AIR
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bila dan berapakah kadar kenaikan tarif air yang sepatutnya dilaksanakan berdasarkan perjanjian dengan syarikat konsesi bekalan air?
Perjanjian Konsesi Penswastaan pembekalan air terawat di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Selangor dan SYABAS pada 15 Disember 2004. Antara terma perjanjian yang dipersetujui adalah berhubung pelarasan kadar tarif air terawat oleh SYABAS yang perlu di semak dan mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Perjanjian Konsesi telah menjadualkan pelarasan tarif sepanjang tempoh Perjanjian
Konsesi SYABAS berkuat kuasa seperti berikut:-
Pelarasan Tarif Tarikh Pelarasan Tarif Average Schedule Tariff (RM/mᵌ) Pelarasan Pertama 01 Januari 2006 1.39 Pelarasan Kedua 01 Januari 2009 1.90 Pelarasan Ketiga 01 Januari 2012 2.38 Pelarasan Keempat 01 Januari 2015 2.86 Pelarasan Kelima 01 Januari 2018 3.15 Pelarasan Keenam 01 Januari 2021 3.31 Pelarasan Ketujuh 01 Januari 2024 3.48 Pelarasan Kelapan 01 Januari 2027 3.65 Pelarasan Kesembilan 01 Januari 2030 3.83 Dalam usaha untuk melindungi rakyat sebagai pengguna utama industri perkhidmatan air, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk tidak bersetuju dengan sebarang pelarasan tarif yang dipohon oleh SYABAS. Pelarasan Tarif purata air terawat pertama telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006 dan berkuat kuasa mulai 1 November 2006 di mana kadar tarif purata RM1.39 per cubic meter yang diguna pakai sehingga hari ini adalah berdasarkan kepada kadar yang diluluskan pada tahun 2006. Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan pelarsan tarif yang dipohon oleh SYABAS pada tahun 2012, kadar tarif yang akan dibayar oleh pengguna pada ketika ini adalah sebanyak RM2.38 per cubic meter.
Namun Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor di mana kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air, telah tidak bersetuju untuk menguatkuasakan sebarang pelarasan tarif. Malahan bagi permohonan pelarasan bagi tahun 2015 juga telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk ditangguhkan sehingga penstrukturan semula industri perkhidmatan air dimuktamadkan.
Lanjutan dari tiada sebarang kenaikan tarif seperti yang dijadualkan pada tahun 2009, SYABAS telah memulakan tindakan mahkamah bagi menuntut pampasan kerana ketiadaan kenaikan kadar tarif baru. Kes tersebut masih dalam tindakan mahkamah dan belum ada sebarang keputusan ke atas tuntutan SYABAS tersebut.
-
Apakah kesan akibat kerajaan tidak menaikkan kadar tarif air tersebut walaupun termeterai dalam perjanjian?
Perjanjian Konsesi SYABAS memperuntukkan sekiranya Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan memutuskan tarif yang lebih rendah dari yang dipohon oleh SYABAS atau dalam keadaan di mana Kerajaan Persekutuan dan/atau Kerajaan Negeri menangguhkan pewartaan tarif yang baru, Kerajaan Negeri hendaklah membayar pampasan kepada SYABAS sebagai kehilangan sumber hasil SYBAS.
Berdasarkan kepada keputusan tiada sebarang persetujuan oleh Kerajaan Negeri Selangor ke atas kenaikan tarif seperti yang dijadualkan pada tahun 2009, SYABAS telah memulakan tindakan mahkamah bagi menuntut pampasan. Kes tersebut masih dalam tindakan mahkamah dan belum ada sebarang keputusan ke atas tuntutan SYABAS tersebut.
SYABAS adalah sebuah syarikat swasta, di mana keuntungan masih merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan. Manakala bagi Kerajaan Negeri Selangor, keuntungan bukanlah matlamat utama di dalam industri perkhidmatan air sebaliknya penetapan kadar tarif yang munasabah di samping menyediakan perkhidmatan pembekalan air yang efisien adalah menjadi matlamat utama. Dalam mencapai hasrat untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor, kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air.
Oleh sebab terdapat jurang perbezaan di dalam matlamat SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memberikan perkhidmatan bekalan air, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor. Salah satu matlamat di dalam penstrukturan semula ini adalah untuk memastikan tarif air ditetapkan pada kadar yang munasabah dan berasaskan prestasi dan pencapaian KPI syarikat pengendali perkhidmatan.