Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

259) PENGENDALIAN KRISIS AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menyelaras pengendalian krisis air?

    Merujuk kepada Akta Industri Perkhidmatan Air , 2006 (Akta 655) bagi maksud kecemasan yakni dalam hal keadaan apabila bekalan air tidak mencukupi disebabkan kemarau yang teruk atau pergolakan industri, atau pembekalan air membahayakan atau menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam atau kesihatan awam atau suatu kejadian berlaku yang menimbulkan keadaan yang mendesak, maka YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air diberikan kuasa untuk mengenakan catuan air. Dalam hal ini, pihak yang menyelaraskan pengendalian krisis air adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

  2. Kenapakah catuan air dibuat di bulan April walaupun hujan lebat sedangkan air di sungai tidak dapat disalurkan ke empangan?

    Paras simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor terus menurun hingga ke paras di bawah 40% di mana setakat 16 April 2014, simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor adalah sebanyak 87.12 Juta Meter Padu (37.88%). Paras air di empangan Sungai Selangor turun pada kadar 0.62% hingga 1% setiap hari, tanpa kawalan pelepasan, paras empangan air mentah di sungai Selangor dianggarkan boleh menurun kepada 30% dalam tempoh 7 hari sahaja. Sekiranya tiada catuan dibuat ketika itu, maka penurunan paras Empangan Sungai Selangor tidak akan dapat dikawal dan akan terus menyusut hingga ke paras yang kritika. Dalam paras kritikal, ditambah dengan kedatangan monsun Barat Daya yang dijangkakan pada bulan Jun 2014 dan jangkaan el nino yang akan melanda, adalah mustahil untuk memenuhkan semula takungan Empangan Sungai Selangor.  Keadaan ini jika berlaku akan lebih mendatangkan kesulitan kepada rakyat seluruhnya.  Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan meneruskan catuan dalam bulan April sebagai langkah untuk memastikan takungan Empangan Sungai Selangor dapat ditingkatkan bagi menghadapi musim kering yang dijangkakan itu.

    Penurunan paras empangan itu adalah disebabkan oleh keadaan cuaca panas yang luar biasa ditambah dengan pengurangan kadar hujan yang ketara. Keadaan  cuaca tersebut menyebabkan empangan ini menerima hujan yang sedikit sejak dua bulan yang lalu berbanding dengan tahun-tahun yang lepas seperti yang dapat dilihat seperti jadual di bawah:

    JADUAL PERBANDINGAN HUJAN BAGI TAHUN 2007 HINGGA 2014 UNTUK

    BULAN JANUARI, FEBRUARI, MAC, OKTOBER, NOVEMBER DAN DISEMBER

    TAHUN JUMLAH HUJAN BULANAN      
    JANUARI FEBRUARI MAC   OKT NOV DEC
    2007 193.30 46.65 234.45 286.87 372.73 268.65
    2008 165.54 83.99 295.11 272.22 419.77 62.00
    2009 91.0 99.56 325.13 64.00 84.82 50.40
    2010 162 82 208 115.43 392.24 151.84
    2011 190 50 183 251.66 274.80 185.54
    2012 106 217 199 245.78 496.50 223.57
    2013 96 149 107 385.71 210.07 139.19
    2014 102 2 54      

    Walaupun hujan banyak direkodkan pada bulan April tersebut, namun hujan tersebut tidak turun di dalam kawasan takungan Empangan Sungai Selangor. Sehingga 04 Jun 2014, walaupun proses pembenihan awan dilaksanakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), hujan yang direkodkan turun di dalam takungan Empangan Sungai Selangor hanya sebanyak 27mm.

    Lanjutan dari keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan catuan dahulu, takungan simpanan Empangan Sungai Selangor telah dapat ditingkatkan dari 37.88% pada 16 April 2014 kepada 43.39% pada 06 Jun 2014 di mana purata peningkatan dianggarkan sebanyak 0.1 – 1% setiap hari.  Dengan peningkatan takungan simpanan di Empangan Sungai Selangor, Kerajaan Negeri bersedia menghadapi musim kering yang dijangka akan melanda dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat diminimakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.