Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

255) DATA KEMISKINAN

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peratusan miskin tegar dan miskin relatif di Selangor sekarang?

    Mengikut data yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga 2012 peratusan miskin tegar di negeri Selangor adalah sebanyak 0% manakala peratusan miskin relatif pula adalah sebanyak 0.4%. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan, maklumat pendapatan isi rumah ini dikumpulkan melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) yang dijalankan dengan kekerapan dua (2) kali penyiasatan bagi setiap lima (5) tahun. Penyiasatan PPIR yang terkini ialah pada tahun 2012 dan dijalankan mengikut strata iaitu bandar dan luar bandar. Statistik terkini kemiskinan mengikut strata dan kaum adalah seperti di Lampiran 1.

  2. Adakah kerajaan negeri membangunkan pangkalan data untuk memantau golongan miskin di Selangor?

    1. Selari dengan dasar kerajaan “Dari kebajikan kepada berdikari” (Welfare to workfare), Kerajaan Negeri telah membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai iWorkfare. iWorkfare akan mengumpul maklumat daripada seluruh rakyat di Selangor yang memerlukan bantuan. Fokus akan diberikan kepada kepada golongan miskin/asnaf, ibu tunggal, orang asli, penduduk luar bandar, peniaga kecil, pekerja kurang mahir, graduan menganggur dan pekerja ladang. Mereka akan diberi bantuan dalam bentuk modal asas, latihan, bimbingan, kemahiran, strategi pemasaran dan lain-lain bantuan oleh Kerajaan Negeri supaya mereka boleh menceburi bidang keusahawanan dengan lebih berkeyakinan dan berdaya saing bagi menjana ekonomi sendiri. Disamping itu, mereka juga boleh mempertingkat pendapatan sedia ada supaya taraf hidup mereka boleh berubah dari semasa ke semasa dan dapat menjalani kehidupan sama seperti warga Selangor yang lain.

    Salah satu    komponen     penting          dalam             pembangunan         iWorkfare       ialah pembangunan pangkalan data bersepadu yang mengintegrasikan data-data daripada pelbagai agensi di Selangor. Melalui pangkalan data tersebut, Kerajaan Negeri boleh memantau pergerakan bantuan kebajikan kepada rakyat di Selangor supaya tiada pertindanan bantuan berlaku dan bantuan hanya diberikan kepada mereka yang amat memerlukan. Disamping itu, Kerajaan Negeri juga dapat merancang dan melaksana pemberian bantuan dengan lebih teratur, cekap dan berkesan.

    Namun demikian, Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama dengan dua (2) buah universiti iaitu Unisel dan UTAR bagi membangunkan satu kajian fizikal berkaitan Pendapatan dan Kos Sara Hidup di negeri Selangor secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, beberapa penambahbaikan perlu dibuat terhadap pelaksanaan kajian ini atas nasihat YAB Menteri Besar.

     

  3. Nyatakan statistik terkini kemiskinan mengikut kaum, DUN dan daerah di Selangor?

    Sama seperti di SUB(a)

Lampiran

Tiada Lampiran.