Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

113) PEMBERIMILIKAN TANAH KERAJAAN

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Haji Zaidy Bin Haji Abdul Talib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah polisi kerajaan negeri Selangor dalam pemberimilikan tanah kerajaan kepada rakyat Selangor?

    Polisi Kerajaan Negeri Selangor dalam pemberimilikan tanah Kerajaan bagi tujuan kediaman adalah selaras dengan dasar untuk merakyatkan ekonomi Negeri Selangor iaitu memberikan hakmilik kepada individu yang telah lama menduduki tanah kerajaan secara tidak sah. Garis panduan pemberimilikan tanah kerajaan adalah melalui :

    1. Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 6 Tahun 2011 mengenai Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian di Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 1 November 2011
    2. Pemberimilikan tanah kerajaan bagi tujuan bangunan perniagaan dan perindustrian adalah melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 6/2010 mengenai Garis Panduan Pelupusan Tanah Kerajaan Melalui Kaedah Jualan di Negeri Selangor. Melalui polisi ini hanya dua (2) kaedah pelupusan iaitu pelupusan tanah secara jualan terus atau secara tender.
  2. Adakah masih wujud pemberimilikan sementara atas tanah kerajaan?

    Kerajaan Negeri tidak melaksanakan pemberimilikan sementara ke atas tanah Kerajaan. Walau bagaimanapun, kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) akan dipertimbangkan kepada permohonan tapak rumah kediaman yang telah lama diduduki yang tidak diluluskan hakmilik. Keputusan MMKN ke 9/2013 telah meluluskan semakan semula kadar bayaran dan kelulusan TOL bagi tujuan kediaman. Melalui Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3/2013 permohonan bagi tahun 2013 sahaja diluluskan dan kuasa melulus diturunkan kepada Pentadbir Tanah Daerah  dan perlu di lapor kepada Mesyuarat MTES. Bagi tahun 2014 dan ke atas kelulusan adalah diperingkat MTES.

  3. Apakah polisi kerajaan bagi pemberimilikan sementara tanah kerajaan yang diusahakan dan adakah dibenarkan pemberimilikan kekal?

    Bagi tapak rumah kediaman yang telah diluluskan secara Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di atas tanah kerajaan, ianya layak dipertimbangkan untuk diberi hakmilik sekiranya ia mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan diluluskan oleh MMKN. Sehubungan itu, bagi memastikan polisi ini dilaksanakan secara keseluruhan, semua Pentadbir Tanah Daerah telah diarahkan untuk mengenalpasti tapak-tapak rumah kediaman yang diluluskan secara LPS diangkat untuk dipertimbangkan dan diluluskan pemberimilikan oleh MMKN.

Lampiran

Tiada Lampiran.