Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

104) PELAN CATUAN BEKALAN AIR DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Penunjuk Aras catuan air di negeri Selangor?

    Pelaksanaan catuan bekalan air di Negeri Selangor adalah berdasarkan pemantauan status lengkuk operasi empangan (dam operating rule curve) bagi sesuatu empangan. Ia berfungsi untuk menerangkan status terkini kapasiti atau keupayaan empangan bagi tujuan bekalan air kepada muka sauk di bahagian hilir. Walau bagaimanapun paras air sungai turut juga dipantau dalam memastikan kapasiti sungai adalah mencukupi bagi tujuan abstraksi air di muka sauk dan keperluan jumlah kadar pelepasan air daripada empangan.

  2. Adakah ianya berdasarkan paras air di Empangan atau paras air di sungai berhampiran Loji Rawatan Air (LRA)?

    Rujuk perincian Jawapan (a)

  3. Benarkah kerajaan negeri menggunakan air dari Empangan dan bukannya dari sungai untuk diagihkan kepada pengguna?

    Empangan merupakan struktur yang dibina bagi menakung air di bahagian hulu dan ianya berfungsi untuk melepaskan air bagi menampung aliran sungai semasa aliran rendah (low flow). Paras air sungai yang rendah boleh menjejaskan abstraksi air di muka sauk dan seterusnya memberi kesan gangguan bekalan air kepada pengguna.  Dalam hubungan ini, air terawat yang diagihkan kepada pengguna adalah air sungai yang telah dirawat oleh loji pembersihan air dan bukannya terus dari empangan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.