Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
70) FENOMENA EL NINO
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah jangkaan masa berlakunya fenomena ini dan kesannya terhadap rakyat Selangor?
Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia, jangkaan masa berlakunya fenomena El-Nino ini adalah dari bulan Jun hingga September 2014 dan kesannya dialami oleh rakyat Selangor seperti cuaca kering dan panas (melebihi 35 0C). Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan diterima akan berkurangan serta berlakunya kebakaran hutan yang boleh menyebabkan kejadian jerebu tebal merentasi sempadan yang akan memberi kesan terutamanya terhadap kesihatan, aktiviti luar dan pertanian.
-
Apakah persediaan kerajaan negeri untuk menghadapi fenomena ini dari segi memastikan bekalan air mencukupi?
Kerajaan negeri telah membuat beberapa persediaan awal untuk menghadapi fenomena ini bagi memastikan bekalan air mencukupi seperti berikut :
- Mengenalpasti dan melengkapkan kemudahan pam untuk 9 buah kolam alternatif di sepanjang Sg. Selangor yang terletak di hulu muka sauk. Pemantauan dan pensampelan kualiti air kolam juga dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS). Sejumlah 20 buah pam berkapasiti 48 JLH telah dan sedang ditempatkan di semua kolam alternatif tersebut untuk membekalkan sebanyak 960 JLH. Buat masa ini, beberapa kolam alternatif tersebut sedang di isi dengan air Sg. Selangor yang dipam masuk ketika air sungai tinggi.
- Bagi meningkatkan takungan empangan, operasi pembenihan awan untuk kawasan tadahan di Negeri Selangor telah dijalankan bersama Jabatan Meteorologi dan sehingga 11 Jun 2014 adalah sebanyak 39 kali dan akan diteruskan sehingga hujung tahun ini.