Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

67) PENGUMPULAN RUMPUT YANG DIPOTONG, DAUN POKOK DAN SAMPAH KEBUN

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah anggaran purata kuantiti rumput, daun dan sampah kebun di PBT pada 2013?

    Jumlah anggaran purata kuantiti rumput, daun dan sampah kebun semua PBT tahun 2013 adalah sebanyak 11,330.00 metrik tan setahun. Pecahan PBT seperti di Lampiran 1.

    Lampiran 1

    ANGGARAN PURATA KUANTITI RUMPUT, DAUN DAN SAMPAH KEBUN DI

    PBT PADA 2013

    BIL. PBT ANGGARAN PURATA

    (METRIK TAN / SETAHUN)

    1 MBSA 49,115.28
    2 MBPJ 26,856.78
    3 MPK 35,100.00
    4 MPSJ 1,600.00
    5 MPS 5,000.00
    6 MPKj 360.00
    7 MPAJ 7,488.00
    8 MPSp 360.00
    9 MDKS 3,840.00
    10 MDKL 480.00
    11 MDSB 360.00
    12 MDHS 5,400.00
      JUMLAH 135,960.06
      PURATA 11,330.00

    **Sumber: Semua PBT Negeri Selangor

  2. Apakah rancangan untuk menjadikan bahan-bahan tersebut sebagai baja kompos?

    Kebanyakan PBT di Negeri Selangor telah mempunyai program composting yang menghasilkan baja kompos. Antara usaha yang dijalankan adalah:-

    1. Menyediakan pusat pengumpulan daun pokok dan sampah kebun serta membeli peralatan mesin untuk menghasilkan baja kompos. Sebagai contoh, MBSA telah menyediakan pusat pengumpulan daun pokok dan sampah kebun untuk dijadikan baja kompos dengan penyeliaan seorang Penolong Pegawai Pertanian dan 2 orang pekerja di samping pelaburan dengan membeli dua unit mesin ‘chipper & shredder’ dengan kapasiti 10 dan 18 kuasa kuda setiap satu.
    2. Pada tahun 2011 MBSA telah memulakan projek kompos di tapak seluas dua (2) ekar di Persiaran Jubli Perak berhampiran stor Jabatan Kerja Raya, seksyen 17, Shah Alam dengan menggunakan mesin berkapasiti 10 kuasa kuda. Pada tahun 2012 MBSA menyediakan sebuah kabin sebagai pusat operasi dan stor penyimpanan peralatan dengan nilai RM10,000.00. Manakala tahun 2013, MBSA telah membeli mesin dengan nilai RM50,000.00 untuk meningkatkan keupayaan bagi proses menghancur sisa tersebut.  Bagi memantapkan operasi pada tahun 2014 pihak MBSA akan menaiktaraf dan meluaskan tapak operasi, dengan menyediakan sistem pengairan & elektrik serta membina bangunan dan pembelian peralatan; dan
    3. Pihak MBPJ juga ada merancang untuk mengutip daun-daun kering di dalam kawasan taman yang luas dan dikumpulkan di pangkal-pangkal pokok untuk kompos secara semula jadi dan selebihnya akan dikumpulkan disuatu sudut taman untuk proses penguraian bagi menghasilkan kompos semulajadi dan pihak MPK merancang melakukan pengkomposan di tapak semaian.
  3. Berapakah anggaran kos bagi membangunkan sistem kompos di PBT?

    Kos anggaran pembangunan kompos dengan sistem yang lengkap untuk pemprosesan kompos di PBT boleh mencecah sebanyak RM210,000.00. Contoh seperti jadual di bawah:-

    Bil. Perkara Kos (RM) Tahun
    1. Pembaikan kabin & stor 10,000 2012
    2. Pembelian mesin 50,000 2013
    3. Menaiktaraf tapak 50,000 2014
    4. Sistem pengairan & elektrik 50,000 2014
    5. Peralatan & bangunan 50,000 2014

    **Sumber: MBSA

Lampiran

Tiada Lampiran.