Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

20) HARGA RUMAH DAN HARTANAH

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan Negeri dalam mengawal harga rumah yang melambung tinggi khususnya selepas perlaksanaan GST ?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan sentiasa sedar tentang kenaikan harga rumah yang berlaku saban tahun dan ia dijangka akan lebih terkesan selepas pelaksanaan GST pada 1 April 2014. Walaupun rumah telah disenaraikan salah satu daripada 40 jenis barangan dan perkhidmatan yang tidak akan dikenakan cukai namun ia bukannya salah satu jaminan bahawa harga rumah tidak terkesan terhadap pelaksanaannya. Ini kerana semakan terhadap 40 jenis barangan tersebut mendapati barangan untuk pembinaan tidak termasuk dalam senarai tersebut. Ini secara tidak langsung membuktikan ia merupakan barangan akan dikenakan cukai dan dijangka memberikan kesan secara langsung kepada harga rumah kelak.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, antara langkah yang boleh dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri dengan memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar barangan-barangan dan perkhidmatan yang melibatkan industri pembinaan perumahan khususnya yang melibatkan harga kawalan diberikan pelepasan cukai sepenuhnya.

  2. Adakah kerajaan Negeri dapat menjamin harga rumah mampu milik kekal walaupun selepas perlaksanaan GST ?

    Bermula 1 Januari 2014, Kerajaan Negeri telah mula memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik (Rumah Selangorku) yang mana telah menetapkan harga jualan rumah mampu milik di antara RM42,000.00 sehingga RM250,000.00 bergantung kepada saiz binaan, jenis rumah dan lokasi. Dengan penetapan harga rumah tersebut, pemaju perlu mematuhi harga kawalan seperti mana yang telah ditetapkan walaupun sekiranya GST memberi kesan kenaikan kepada harga rumah kelak.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.