Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

9) PELAKSANAAN OSC 3.0

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak PBT telah mula mengguna OSC 3.0? Berapakah kos yang perlu dibiayai oleh setiap PBT?

    Berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) dan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) PBT:SPBT Bil. 1/2014 bertarikh 7 Januari 2014, Model

    Baru OSC ini berkuatkuasa mulai 1 Jun 2014. PBT akan menggunapakai Model Baru OSC 3.0 ini mulai 1 Jun 2014 selaras dengan pekeliling tersebut. Bagi memastikan pelaksanaan prosedur ini berjalan lancar, mekanisma pelaksanaan perlu diperhalusi dan diperincikan kerana memberi implikasi terhadap prosedur dan proses kerja serta bebanan kerja di peringkat agensi teknikal dalaman dan luaran. Pelaksanaan OSC 3.0 tidak melibatkan pindaan undang-undang sedia ada, sehubungan itu tiada implikasi kos diperingkat PBT. Pelaksanaannya melibatkan penambahbaikan proses sedia ada selaras dengan amalan terbaik dunia.

  2. Apakah kelebihannya berbanding sistem OSC yang lama?

    Dalam OSC 2007, peranan OSC adalah hanya setakat kelulusan pelan sahaja manakala OSC 3.0 pemantauan OSC adalah secara menyeluruh iaitu dari peringkat mula penerimaan permohonan sehingga CCC dikeluarkan. Model baru OSC 3.0 mengambilkira amalan-amalan terbaik dunia juga menepati metodologi Bank Dunia menaraf regulatori domestik bandar-bandar utama di dunia. 6 proses-proses utama yang diberi penekanan adalah pengumpulan data, pertimbangan permohonan, notifikasi mula kerja, pemeriksaan interim, pemeriksaan akhir dan pengesahan bangunan layak diduduki.

    Pelaksanaan OSC 3.0 memberi faedah daripada aspek:

    1. Keseragaman urusan pengeluaran permit pembinaan;
    2. Peningkatan kecekapan semua pihak terlibat;
    3. Pengurangan kos pematuhan kepada pelabur;
    4. Peningkatan pelaburan; dan
    5. Pertambahan peluang pekerjaan
  3. Berapa banyak sesi penerangan telah diadakan dengan pengguna-pengguna sistem OSC yang lama?

    Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah mengadakan Bengkel Pemantapan Urusan Pengeluaran Permit Pembinaan bagi semua PBT dan Agensi Teknikal Luaran yang terdiri daripada pegawai-pegawai memproses telah diadakan di setiap negeri dari 14 Februari 2013 hingga 19 November 2013.

    Agensi-agensi teknikal yang turut serta dalam bengkel-bengkel tersebut adalah terdiri daripada Unit OSC, Jabatan Perancang PBT, Jabatan Bangunan PBT, Jabatan Kejuruteraan PBT, Jabatan Landskap PBT,  Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, Tenaga Nasional Berhad, Pihak Berkuasa Air Negeri, Indah Water Konsortium Sdn Bhd/Majari Services Sdn Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

    JKT turut mengadakan Seminar Pemantapan Pemahaman OSC 3.0 kepada para profesional yang terdiri daripada Orang Utama Yang Mengemukakan (Principal Submitting Person-PSP) dan Orang Yang Mengemukakan (Submitting PersonSP) pada 15 Mac 2014, 13 April 2014, 17 Mei 2014 dan  25 Mei 2014. Sesi pendedahan yang sama turut dibuat kepada pemaju/pemunya projek pada 18

    April 2014 lalu.

    JKT juga telah menganjurkan Seminar Pemantapan Pemahaman Kepada Model Baru OSC 3.0 terhadap 4 disiplin agensi teknikal di PBT sebanyak 4 siri melibatkan pegawai-pegawai dari Unit OSC, Jabatan Perancang, Jabatan Bangunan dan Jabatan Kejuruteraan bertujuan memantapkan pemahaman dan penyesuaian OSC 3.0 kepada pegawai pemproses. 4 sesi telah diadakan pada 5 Mei 2014, 12 Mei 2014, 19 Mei 2014 dan telah berakhir pada 26 Mei 2014.

Lampiran

Tiada Lampiran.