Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

4) SISTEM PENGUMPULAN DAN PENGGUNAAN SEMULA AIR HUJAN (SPAH)

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang telah diambil bagi melaksanakan SPAH seperti yang diperuntukkan oleh Akta?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah menyambut baik dan melaksanakan Pelan Tindakan Kejiranan Hijau yang telah diwartakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menggariskan agar Rainwater Harvesting System atau Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) ini diguna pakai oleh bangunan-bangunan kerajaan, PBT dan juga bangunan individu sebagai salah satu langkah pengurusan air yang berkesan adalah sesuatu yang baik.

    Pada masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor bersama dengan pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan PBT akan mengadakan satu kajian bagi mengenal pasti potensi penggunaan sistem SPAH dan On Site Detention (OSD) untuk dimasukkan dalam pembinaan perumahan baru.

    Sebagai tanda Kerajaan Negeri mengambil serius kepentingan SPAH Pelan Tindakan Kejiranan Hijau ini, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah membina sistem yang sama di Bangunan Dewan Jubli Perak bertujuan untuk mengelakkan penggunaan air bersih bagi kerja-kerja pembersihan, penyiraman pokok bunga dan ‘toilet flushing’ seterusnya boleh menjimatkan / mengurangkan perbelanjaan bil air yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Projek ini akan siap sepenuhnya pada Ogos 2014.

  2. Bilakah pembangunan baru akan dikenakan syarat pemasangan SPAH?

    Kerajaan Negeri melalui PBT telah mewajibkan setiap permohonan pelan bangunan yang dikemukakan bagi rumah sesebuah, berkembar dan semua kategori bangunan berasingan yang mempunyai kawasan berbumbung melebihi 100m2 mengadakan SPAH pada pelan dan bangunan tersebut selaras dengan Pewartaan Pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Selangor 2012.

  3. Apakah program galakan bagi penggunaan air hujan?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar bercadang untuk menjalankan kempen kesedaran penjimatan air paip dan memanfaatkan air hujan melalui program-program yang akan dilaksanakan secara berperingkat di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Pada masa yang sama, suatu mekanisma akan dikenalpasti untuk mendidik rakyat Negeri Selangor untuk mengamalkan penggunaan air hujan untuk tujuan harian seperti membasuh halaman dan kereta serta juga bagi tujuan tanaman. Saranan ini juga akan diperluaskan ke seluruh PBT untuk menggunakan tadahan air hujan ini bagi tujuan penyiraman pokok-pokok lanskap. Satu siri program yang berterusan akan dirangka bagi memastikan program ini berjaya dan berkesan untuk jangka masa yang panjang.

Lampiran

Tiada Lampiran.