Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

2) KENAIKAN TARIF AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan tarif air dalam masa 5 tahun memandangkan rakyat Selangor menghadapi masalah bekalan air?

    Pada masa ini, Perjanjian Konsesi SYABAS masih berkuat kuasa dan memperuntukkan kadar kenaikan tarif setiap tiga tahun sekali seperti berikut:-

    Pelarasan Tarif Tarikh Pelarasan Tarif Average             Schedule Tariff (RM/mᵌ)
    Pelarasan Pertama 01 Januari 2006 1.39
    Pelarasan Kedua 01 Januari 2009 1.90
    Pelarasan Ketiga 01 Januari 2012 2.38
    Pelarasan Keempat 01 Januari 2015 2.86
    Pelarasan Kelima 01 Januari 2018 3.15
    Pelarasan Keenam 01 Januari 2021 3.31
    Pelarasan Ketujuh 01 Januari 2024 3.48
    Pelarasan Kelapan 01 Januari 2027 3.65
    Pelarasan Kesembilan 01 Januari 2030 3.83

    Pelarasan Tarif purata air terawat pertama telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006 dan berkuat kuasa mulai 1 November 2006 di mana kadar tarif yang diguna pakai sehingga hari ini adalah berdasarkan kepada kadar yang diluluskan pada tahun 2006 tersebut.

    Pelarasan tarif kedua  yang sepatutnya berkuatkuasa bermula pada 01 Januari 2009 hingga  31 December 2011, namun Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor di mana kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air, maka Kerajaan Negeri tidak bersetuju untuk menguatkuasakan sebarang pelarasan tarif.

    Lanjutan dari tiada sebarang kenaikan tarif seperti yang dijadualkan pada tahun 2009, SYABAS telah memulakan tindakan mahkamah bagi menuntut pampasan kerana ketiadaan kenaikan kadar tarif baru. Kes tersebut masih dalam tindakan mahkamah dan belum ada sebarang keputusan ke atas tuntutan SYABAS tersebut.

    Namun sekiranya Perjanjian Konsesi SYABAS ini masih dikuatkuasakan dan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor tidak dimuktamadkan menurut Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka Kerajaan Negeri tidak mempunyai kawalan secara langsung ke atas pelarasan tarif oleh SYABAS.  Apatah lagi, di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS memang telah diperuntukkan mengenai kenaikan tarif setiap tiga tahun sekali.  Dijangkakan mengikut peruntukkan di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS, untuk tempoh lima tahun lagi, terdapat dua kali lagi kenaikan yang boleh dituntut oleh SYABAS, iaiatu pada tahun 2015 dengan kadar tarif purata sebanyak  RM2.86 setiap meter padu dan pada tahun 2018 dengan kadar tarif purata sebanyak RM3.15 setiap meter padu. Sekiranya perjanjian konsesi SYABAS ini diteruskan, pada tahun

    2030 kadar tarif purata yang bakal dibayar oleh pengguna Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak RM3.83 setip meter padu.

    SYABAS adalah sebuah syarikat swasta, di mana keuntungan masih merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan. Manakala bagi Kerajaan Negeri Selangor,  keuntungan bukanlah matlamat utama di dalam industri perkhidmatan air sebaliknya penetapan kadar tarif yang munasabah di samping menyediakan perkhidmatan pembekalan air yang efisien adalah menjadi  matlamat utama.  Dalam mencapai hasrat untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor, kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air.

    Oleh sebab terdapat jurang perbezaan di dalam matlamat SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memberikan perkhidmatan bekalan air, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor. Melalui penstrukturan semula ini, operator perkhidmatan air yang baru dapat diujudkan di mana operator air tersebut adalah terdiri dari syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Dalam melaksanakan penyusunan semula perkhidmatan air di Negeri Selangor,

    Kerajaan Negeri telah mengambil kira aspek-aspek berikut:-

    • Menjurus kepada penamatan perjanjian-perjanjian konsesi air sedia ada yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan pemegang konsesi;
    • Meneliti dan menstrukturkan semula kos-kos operasi terutamanya pembelian air terawat yang pada masa ini amat membebankan;
    • Mengenakan tarif air pada kadar yang munasabah dan berasaskan prestasi dan pencapaian KPI syarikat pengendali perkhidmatan;
    • Memastikan struktur baru yang diwujudkan mengutamakan peningkatan tahap kecekapan    dan     keberkesanan          perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya; dan
    • Melibatkan PAAB di peringkat awal dalam proses pengambilalihan dan penyusunan semula ini.

    Melalui Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan bahawa SPV yang bakal diwujudkan di bawah Model dipantau sepenuhnya bagi memastikan SPV ini beroperasi dengan mementingkan kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan.  Sebagai SPV yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa penuh untuk memantau agar SPV ini akan mendapat one time profit, yang mana keuntungan yang akan dijana adalah tidak melampaui. Dengan keuntungan yang tidak melampaui, SPV akan dapat mengekalkan kadar tarif yang munasabah.  Kenaikan tarif di dalam operasi memang tidak dapat dihalang berikutan dengan kenaikan kos bahan mentah dan kos operasi, namun kenaikan tarif tersebut akan dipastikan munasabah.

    Selain dari itu, SPV yang beroperasi secara holistik ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing) dan ini dapat memastikan kos operasi yang tidak membebankan kerana setiap kos yang dibelanjakan oleh SPV akan dipantau secara langsung melalui kuatkuasa Akta Industri Perkhidmatan Air, 2006 (Akta 655).  Syarikat SPV tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi. Ini dapat memastikan kadar tarif munasabah dapat dicapai.

    Melalui peranan yang diambil oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),   SPV tidak di beban dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh PAAB.  Dengan kaedah ini, kos pembangunan tidak akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan tarif.

    Di bawah rejim pelesenan, SPAN melalui peruntukkan di bawah Akta 655 boleh mengesyorkan kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan aras kadar yang hendak dicajkan bagi perkhidmatan air  termasuk kadar air pukal dan kadar tarif air.

    Sebagai sebuah syarikat SPV yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri.  Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.

    Justeru itu, dengan pelaksanaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air, rakyat Negeri Selangor tidak lagi dibebankan dengan kenaikan tarif air yang melampau.  Sebaliknya melalui syarikat yang dimiliki dan dikawal secara langsung oleh Kerajaan  Negeri Selangor, segala sumber yang diperoleh akan digunakan untuk memastikan rakyat  membayar kadar air yang munasabah dan terus menikmati inisiatif pemberian 20m3 air percuma.

  2. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri akan lakukan untuk memastikan bekalan air mencukupi kepada Rakyat, terutamanya di DUN Teratai?

    Kawasan DUN Teratai mendapat bekalan air dari Rumah Pam Wangsa Maju. Kejadian henti tugas di Rumah Pam Wangsa Maju adalah berlaku kerana SYABAS tidak berkemampuan dan tidak kompeten di dalam mengendalikan rumah pam tersebut. Pada masa yang sama, SYABAS juga tidak mempunyai kakitangan yang mahir dalam mengendalikan Rumah pam Wangsa Maju hingga menyebabkan kerapnya berlaku henti tugas Rumah Pam tersebut sehingga menyebabkan gangguan bekalan air termasuk kawasan Dun Teratai.

    Penyelesaian menyeluruh ke atas semua masalah yang menimpa penduduk DUN Teratai ini adalah melalui  penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor melalui Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Selain dari memuktamadkan penstrukturan semula, Projek Mitigasi 2 telah pun dilaksanakan bagi memastikan sumber bekalan air adalah mencukupi dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015. Pada masa yang sama juga, Kerajaan Persekutuan telah memberikan bantuan kewangan kepada SYABAS untuk mengatasi masalah Rumah Pam Wangsa Maju.  Dijangkakan kerja-kerja menaik taraf Rumah Pam ini akan siap sepenuhnya dalam tahun 2014.  Dengan siapnya kerja-kerja menaik taraf tersebut, ia dapat meningkatkan kapasiti kadar pengepaman sedia ada di rumah pam.

    Selain dari pelaksanaan projek-projek di atas, Kerajaan Negeri Sleangor juga menggesa agar SYABAS dapat mengurangkan kadar NRW. Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, SYABAS menjanjikan penurunan NRW kepada 20%  pada tahun 2011 dengan perbelanjaan sebanyak RM784.1 juta. Namun kadar NRW pada tahun 2011 yang dapat dicapai oleh pihak SYABAS adalah melebihi 32% dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM995.70 juta,  jauh melebihi amaun yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi.

    Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar yang sepatutnya.

    Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas. Kapasiti  663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.

    Kerajaan Negeri Selangor pada masa yang sama juga sedang membangunkan Projek Hybrid of River Augmentation Storage/System (HORAS) bagi menambah sumber air mentah di Sungai Selangor.  Dengan terlaksananya projek HORAS ini, pengeluaran air terawat dari Loji SSP 1, SSP 2 dan SSP 3 dapat dioptimumkan pengeluarannya bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.

    Selain itu, persetujuan Kerajaan Negeri Selangor untuk membenarkan pelaksanaan Projek Langat 2 juga boleh membantu kawasan DUN Teratai kerana bekalan air dari Loji Langat 2 memang telah dirancang untuk menampung permintaan air bersih yang meliputi kawasan DUN Teratai.

  3. Mengapakah kawasan Zon 24 MPAJ masih menghadapi masalah bekalan air walaupun catuan air telah tamat?

    Kawasan Zon 24 MPAJ telah mendapat bekalan air tetapi masalah yang dihadapi adalah tekanan rendah. Kebanyakan paip utama dan paip komunikasi di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jenis Galvanise Iron (G.I) dan Asbestos Cement (AC).  Paippaip ini kebanyakannya telah pun mencapai usia 40 tahun dan akibat faktor usia tersebut, pengaratan dalaman paip berlaku menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil.  Oleh itu, air tidak dapat disalurkan ke premis pengguna dengan cukup menyebabkan tekanan air menjadi rendah.

    Selain dari faktor usia paip, tekanan rendah juga disebabkan oleh kadar permintaan yang telah meningkat akibat dari pembangunan kawasan baru dan pertambahan pupulasi penduduk di sesetengah kawasan. Disebabkan permintaan air yang berbeza mengikut kawasan terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, yang mana ada kalanya kadar permintaan itu melebihi tahap pembekalan sedia ada dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kekurangan bekalan air berlaku di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.