Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
96) PEMBERIMILIKAN TANAH DI PLOT 13, 14, 15 KAMPUNG PAYA JARAS TENGAH MUKIM SUNGAI BULOH, DAERAH PETALING. NO. RUJUKAN (PTG.P 2/SGB 18/1998)
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bilakah kerajaan akan memberikan hakmilikan kepada bak 16 pemohon yang telah menetap di sana lebih 20 tahun?
Untuk makluman, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK Ke 3 / 2005) yang telah bersidang pada 16 Februari 2005 telah menimbang dan menolak permohonan pemberimilikan ini kerana sebahagian daripada kawasan ini telah terlibat dengan projek tebatan banjir Negeri Selangor bagi tujuan pembaikan Sungai Buloh. Bertindak selaras dengan keputusan tersebut, Pentadbiran ini telah mengemukakan surat penolakan bagi permohonan tersebut sekitar Mac 2005.
Walau bagaimanapun, pada 21 Februari 2006 kesemua pemohon telah mengemukakan rayuan ke Pentadbiran ini dan mendakwa bahawa mereka telah mengusahakan tapak tersebut melebihi tempoh 40 tahun. Justeru, satu Kertas Ringkasan rayuan permohonan pemberimilikan bagi tapak tersebut bertarikh 6 Mac 2012 telah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri bagi tujuan pertimbangan semula.
Pengarah Tanah dan Galian Selangor telah mengemukakan surat bertarikh 6 April 2012 kepada Pentadbiran ini di mana pihak PTG memerlukan laporan teknikal terkini daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Petaling sebelum ianya diangkat bagi tujuan mendapatkan pertimbangan daripada Pihak Berkuasa Negeri.
Beberapa siri perbincangan telah dijalankan di antara pihak Pejabat Tanah, pemohon-pemohon dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Petaling bagi tujuan menentukan keperluan kelebaran sungai yang diperlukan. Pihak pemohon juga telah bersetuju untuk melantik Juruukur Berlesen bagi tujuan penyediaan pelan permohonan terkini sepertimana yang telah dipersetujui.
Pentadbiran ini masih belum menerima sebarang maklumbalas daripada pemohon berhubung pelan permohonan tersebut. Justeru itu, kertas ringkasan rayuan permohonan tersebut masih belum boleh diangkat untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri selagi mana pelan tersebut masih belum diperolehi daripada pihak pemohon.