Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
259) SELANGOR ENTRERUPERUNERSHIP MARKETING PLATFORM (SEMP)
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini program SEMP?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka terhadap perkembangan dunia teknologi keusahawanan. Dengan peredaran terkini dunia keusahawanan, maklumat di hujung jari, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah mempunyai aplikasi telefon pintar dan tablet Usahawan Selangor. Berpandukan aplikasi tersebut, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan sedang memperincikan lagi “features” yang perlu diwujudkan di dalam aplikasi tersebut dan apabila kesemua faktor telah diambil kira, aplikasi tersebut akan dinaiktaraf kepada Selangor Entrepreneurship Marketing Platform (SMEP). Aplikasi yang dinyatakan ini telah boleh dimuat turun di “google play store” dan “apple app store” secara percuma. Bagi sesiapa yang memuat turun aplikasi ini, mereka akan menerima maklumat terkini daripada Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan secara “push notification”.
Secara dasarnya, platform tersebut telah diwujudkan dan akan ditambah baik dan dinaiktaraf sebagai platform pemasaran virtue bergantung kepada fungsi dan keperluan. Adalah wajar untuk Kerajaan Negeri Selangor mengenalpasti dahulu kapasiti keperluan seperti “backend platform”, sokongan teknikal, platform trafik, sistem inventori, laman produk yang dinamik, panel kawalan interaktif dan ciri-ciri keselamatan (risk and fraud) sebelum ia dinaik taraf di dalam memastikan platform tersebut sentiasa beroperasi tanpa masalah ataupun gangguan teknikal. Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor juga sedang giat mempromosikan aplikasi tersebut dan apabila jumlah usahawan yang memuat turun aplikasi tersebut telah mencecah satu jumlah yang ekonomi, maka aplikasi tersebut akan terus dinaiktaraf kepada Selangor Entrepreneurship Marketing Platform (SEP).
-
Apakah matlamat dan golongan sasar program tersebut?
Matlamat SEMP adalah untuk membolehkan semua usahawan di Negeri Selangor mempromosikan dan memperkenalkan produk mereka secara online. SEMP ini juga akan menjadi mini website kepada setiap usahawan yang berdaftar. Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa terdapat usahawan- usahawan terutamanya di luar bandar yang menjalankan perniagaan secara tradisional dan kurang pengetahuan di dalam bidang IT. Di samping kekurangan ilmu pengetahuan di dalam bidang IT, kos untuk membina dan menyelenggara laman web sendiri juga mungkin akan membebankan usahawan tersebut. Domain laman web perlu diperbaharui setiap tahun dan laman web ini perlu diselenggara dan dipantau untuk mengelakkan diceroboh (hack) dan tergendala (server down). Perlu dinyatakan di sini bahawa laman web dan aplikasi telefon pintar adalah dua benda yang berbeza. Maka, untuk usahawan membangunkan laman web mereka dan aplikasi telefon pintar, usahawan perlu mengeluarkan dua (2) kos. Sehubungan itu, dengan wujudnya SEMP, usahawan tidak perlu risau tentang keselamatan dan masalah teknikal laman web mini mereka kerana ianya akan diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Golongan sasar program ini adalah semua usahawan Negeri Selangor layak untuk berdaftar selagi perniagaan / perusahaan mereka tidak melanggar undang-undang berkaitan.
-
Berapakah jumlah perbelanjaan untuk melaksanakan program tersebut?
Dianggarkan kos penyediaan platform ini kelak setelah ianya sempurna adalah sebanyak RM450 ribu dan kos penyelenggaraannya adalah sebanyak RM150 ribu setahun. Kos ini seakan-akan tinggi disebabkan kos penyelenggaraan 24 jam dan mempunyai ciri-ciri seperti yang dinyatakan terdahulu berbanding penggunaan “cloud server” yang boleh diperolehi secara murah tetapi sekiranya tergendala “server down”, masa yang diambil untuk membaik pulih sambungan adalah tertakluk kepada penyedia perkhidmatan.