Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
239) ISU WANITA BEKERJAYA
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status manifesto mewujudkan taska setiap bangunan Kerajaan Selangor? Setakat mana tercapai?
SEKSYEN SEKTORAL, UPEN
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan rakyatnya di Negeri Selangor. Selaras dengan manifesto mewujudkan taska di setiap bangunan Kerajaan Selangor, maka buat masa ini, Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan nurseri / taska di 12 Jabatan / Agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri (BBN) atas inisiatif masing-masing berdasarkan kedudukan kewangan sedia
Nurseri / taska ini disediakan bagi memudahkan warga kerja menempatkan anak-anak pada hari bekerja dalam tempoh waktu bekerja. Kemudahan ini bukan hanya terhad kepada warga kerja di sesuatu Jabatan / Agensi sahaja, tetapi kemudahan ini turut dipanjangkan kepada warga kerja di Jabatan / Agensi lain yang berhampiran. Berikut adalah senarai 12 jabatan/agensi Kerajaan Negeri yang menyediakan kemudahan nurseri/taska :
- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;
- Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ);
- Majlis Perbandaran Klang (MPK);
- Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ);
- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj);
- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA);
- Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ);
- Majlis Perbandaran Selayang (MPS);
- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj);
- Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS);
- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS);
- Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).
Manakala berikut adalah jabatan/agensi yang masih belum dilengkapi dengan nurseri/taska :
- Semua Pejabat Daerah/Tanah;
- Jabatan Pertanian Negeri Selangor;
- Jabatan Kebajikan Masyarakat;
- Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD);
- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS);
- Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS);
- Jabatan Mufti Negeri Selangor;
- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPANS);
- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS);
- Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS); dan
- Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT)
-
Bagaimanakah kerajaan boleh meringankan beban pekerja wanita dalam kerjaya penting dan mempunyai tekanan kerja berat seperti jururawat, doktor wanita, polis wanita dengan memberi insentif taska yang berhampiran di kawasan tempat kerja tersebut?
Kerajaan Negeri Selangor prihatin dan memahami akan bebanan yang digalas oleh wanita berkerjaya terutama sekali wanita yang berada di lapangan kerjaya yang kritikal seperti dalam bidang kepolisan, kejururawatan dan kedoktoran. Namun demikian, dasar Kerajaan Negeri Selangor dalam memberi insentif taska yang berhampiran di kawasan tempat kerja adalah secara menyeluruh dan boleh dimanfaatkan oleh ibubapa yang berkelayakan. Berikut adalah insentif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi meringankan bebanan terhadap rakyat Negeri Selangor :-
i) Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS)
Bantuan yuran tadika sebanyak RM50 sebulan kepada ibu bapa yang berpendapatan RM2,500 ke bawah untuk menghantar anak-anak ke tadika yang berdaftar dengan pihak Majlis Permuafakatan Tadika Selangor di bawah YB Exco Pendidikan.
ii) Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar)
Ibu bapa yang berpendapatan RM2,500 ke bawah dengan satu tanggungan atau RM,3,000 dengan dua tanggungan yang ingin menghantar anak ke taska atau nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan sebanyak RM100 setiap bulan akan diberikan bagi yang layak.
iii) Subsidi Yuran Taska
Ibu bapa yang mempunyai pendapatan per kapita tidak melebihi RM900.00 sebulan, mereka layak untuk mendapat subsidi sebanyak RM250.00 sebulan bagi yang menghantar anak ke TASKA berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
iv) Geran Penubuhan Taska Institusi Dan Taska Di Rumah
Bagi wanita yang ingin membuka Taska Institusi dan Taska di Rumah, JKM pernah memperuntukkan Geran Penubuhan TASKA mengikut syarat yang telah ditetapkan. Bagi Taska Institusi, jumlah geran adalah antara RM10,000.00 hingga RM20,000.00. Manakala TASKA di rumah adalah sebanyak RM3,000.00.
v) Geran Kursus Asuhan dan Didikan Kanak-kanak
Bagi wanita yang terlibat sebagai pengusaha dan pengasuh TASKA, mereka turut mendapat subsidi sebanyak RM500.00 sekaligus bagi mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak PERMATA (KAP) anjuran agensi yang diiktiraf oleh JKM. Kursus ini adalah salah satu syarat wajib bagi penubuhan sesebuah TASKA.