Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
205) PELUPUSAN SAMPAH
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kaedah pelupusan sampah yang akan digunakan oleh Selangor?
Pada masa ini kaedah pelupusan sampah di Negeri Selangor masih bergantung sepenuhnya kepada tapak pelupusan sampah iaitu Tapak Pelupusan Sanitari dan Tapak Pelupusan Sampah Terbuka. Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa kaedah ini menimbulkan rungutan dari pihak awam kerana kesan negatif terhadap alam sekitar seperti bau busuk, pengaliran air kotor (leachate) ke dalam sungai dan pembebasan gas merbahaya seperti karbon dioksida dan metana. Selain itu, kaedah ini juga memerlukan tanah yang luas serta kos operasi dan pengurusan yang tinggi. Menyedari hakikat ini, Kerajaan negeri telah mengkaji penggunaan teknologi-teknologi lain bagi mengelakkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sanitari sedia
Pada 23 – 25 Julai 2015 yang lalu, pihak Kerajaan Negeri melalui Y.B Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Y.B Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam telah mengetuai satu delegasi lawatan kerja ke Bangkok, Thailand untuk melihat sendiri konsep pembangunan industri sumber hijau dalam pengurusan sisa pepejal yang diuruskan dengan baik di sana.
Tempat yang dilawati adalah Management of Solid Waste (MSW) to Fertilizer Plant di Samut Prakarn dan Negative Pressure Building for Bio-waste dan Loji Biogass (Swine Waste) di Ayuthaya. Lokasi ini dipilih kerana jenis sampah yang dihasilkan di Bangkok adalah hampir sama dengan jenis sampah yang dihasilkan di negara ini.
-
Jika ia pendekatan yang baru, bila akan digunakan kaedah pelupusan tersebut?
Pada masa ini, Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memulakan kajian awal bagi melaksanakan konsep ini di negeri Selangor. Projek ini akan menjadi projek perintis dalam skala kecil yang bertujuan untuk membolehkan pihak syarikat membuat kajian yang berterusan serta mampu membuat penyesuaian teknologi sekiranya perlu. Oleh yang demikian, dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 30/2015 pada 17 September 2015 telah menimbang dan bersetuju secara dasarnya cadangan pelaksanaan projek perintis ini akan dilaksanakan di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).