Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
176) ATLET SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah persediaan atlet Selangor bagi menghadapi SUKMA akan datang?
Kerajaan Negeri Selangor (KNS) melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sedang dalam program latihan bagi persediaan pasukan ke SUKMA di Sarawak pada tahun 2016. Pihak Majlis telah merangka fasa-fasa latihan yang terbahagi kepada empat (4) iaitu Fasa I bermula seawal September 2014, Fasa II bermula Januari 2015, Fasa III bermula Ogos 2015 dan Fasa IV bermula Februari 2016.
Setiap fasa ini terdapat perancangan yang berbeza untuk setiap pasukan seperti jadual latihan, mod latihan dan pendedahan kejohanan. Setiap pasukan sedang giat menjalani latihan dan menyertai kejohanan seperti biasa sehingga pemilihan terakhir akan dijalankan apabila masuk Fasa IV nanti. Pihak Majlis juga telah melantik jurulatih sepenuh masa dari dalam dan luar negara untuk persediaan latihan atlet-atlet ini.
-
Apakah strategi dalam mempertingkatkan kualiti dan mutu atlet Selangor?
Pihak Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah merangka dan melaksanakan beberapa strategi dalam meningkatkan kualiti dan mutu pencapaian atlet Selangor. Pelbagai bentuk atau kaedah strategi yang dirancang dan dijalankan mengikut keperluan seperti keperluan latihan. Pihak Majlis akan menyediakan peralatan sukan yang terkini dan ianya juga merupakan salah satu strategi untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan.
Selain itu juga, sistem latihan yang berterusan telah diterapkan kepada sukan yang memerlukan kemahiran tinggi. Latihan spesifik ini penting dalam persediaan pasukan terutamanya dalam aspek fizikal dan teknikal. Pihak Majlis telah mengambil inisiatif untuk melantik jurulatih-jurulatih dari luar negara bagi sukan-sukan yang memerlukan kemahiran yang kompleks dan tinggi seperti sukan memanah, gimnastik, gimrama, menembak dan lain-lain supaya atlet-atlet ini dapat menguasai kemahiran yang kompleks ini dan meningkatkan prestasi atlet-atlet Negeri Selangor.
Selain itu juga, pendedahan kepada kejohanan-kejohanan yang terpilih adalah penting untuk membiasakan atlet-atlet ini dengan tekanan dan keadaan yang berbeza-beza di setiap kejohanan. Pendedahan kepada kejohanan ini juga adalah supaya atlet dapat menimba pengalaman dalam setiap pertandingan agar mereka mahir dan matang dalam pertandingan.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan Selangor mempunyai atlet pelapis berkualiti?
Kerajaan Negeri Selangor (KNS) melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sentiasa menyediakan dan mengambil kira tentang atlet pelapis ini. Dalam setiap pasukan yang berlatih untuk skuad SUKMA, pihak pengurusan pasukan telah memperuntukkan sejumlah kuota untuk atlet-atlet pelapis ini berlatih bersama-sama dengan pasukan elit. Ini adalah penting supaya atlet-atlet pelapis ini dapat membuat persediaan awal untuk kejohanan SUKMA yang akan datang. Meskipun atlet-atlet ini belum layak untuk bertanding di SUKMA 2016 nanti, tetapi untuk persediaan SUKMA 2018 dan seterusnya, atlet-atlet ini perlu membuat persediaan yang lebih awal.
Pihak Majlis juga sentiasa bekerjasama dengan pihak Jabatan Pelajaran Selangor (JPS), Majlis Sukan Daerah (MSD) dan juga Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) termasuklah Pusat latihan Daerah (PLD) untuk bersama-sama menyelaraskan program-program pembangunan atlet-atlet di peringkat pelapis dan ini merupakan salah satu program pembangunan sukan yang berterusan dan menyediakan atlet di peringkat pelapis seterusnya ke peringkat elit negeri.