Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

155) HUTAN SIMPANAN

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian kerajaan dalam kelulusan pewartaan keluar hutan simpanan negeri untuk pembangunan lebuhraya dan laluan TNB?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor hanya melakukan pewartaan keluar bagi tujuan pembangunan lebuhraya/jalanraya manakala bagi laluan TNB perlu kaedah Permit Penggunaan dilaksanakan tanpa perlu mewarta keluar kawasan terlibat dari HSK. Bagi pembangunan lebuhraya, Kerajaan Negeri akan memastikan pihak konsesi perlu menggantikan jumlah keluasan hutan terlibat (yang diwarta keluar) dengan keluasan yang setara atau lebih berdasarkan penilaian tanah semasa oleh pihak yang bertauliah. Sebelum proses pewartaan keluar suatu proses ‘Public Inquiry’ akan dijalankan. Sekiranya dipersetujui maka proses pewartaan keluar dan kawasan gantian akan dilakukan secara serentak. Bagi kedua-dua perkara ini, gantirugi/pampasan bagi pokok yang ditebang akan ditentukan berdasarkan nilai harga pasaran kayu semasa termasuk ses dan premium kayu tersebut.

  2. Adakah kerajaan mempunyai rancangan pengambilan balik kawasan pinggir hutan yang telah dilupuskan untuk pertanian/pembangunan, khususnya kawasan-kawasan sensitif alam sekitar?

    Ya, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sedang mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengawasi kegiatan pembangunan yang bersempadanan dengan HSK terutamanya bagi kawasan-kawasan yang bersempadanan dengan Taman Negeri Selangor. JPNS juga dalam proses mengumpulkan segala maklumat terkini mengenai kawasan pinggir hutan yang telah dikeluarkan Permit Penggunaan untuk pertanian dan sedang berusaha membuat pengambilan kawasan pinggir hutan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.

  3. Adakah kerajaan mensyaratkan pembinaan titian/koridor laluan hidupan liar sekiranya terdapat pewartaan keluar hutan simpanan?

    Buat masa kini, Kerajaan Negeri Selangor belum mensyaratkan pembinaan titian/koridor laluan hidupan liar bagi kawasan HSK yang terlibat di dalam pewartaan keluar HSK. Walau bagaimanapun, keperluan pembinaan titian/koridor ini dan perkara-perkara berkaitan dengan ‘survival’ hidupan liar adalah merupakan salah satu elemen penting yang diambilkira semasa sesi penyiasatan awam. Sehingga kini, belum ada diwujudkan pembinaan titian/koridor laluan hidupan liar bagi kawasan HSK yang diwarta keluar daripada HSK. Malahan cadangan bagi kelima-lima (5) jajaran laluan hidupan liar di dalam Negeri Selangor hanya merupakan ‘Secondary Lingkages’ iaitu laluan bagi haiwan mamalia kecil seperti tapir, babi hutan, monyet dan sebagainya. Tambahan pula, kesemua kawasan koridor laluan hidupan liar terletak di dalam Daerah Sivil Hulu Selangor sahaja. Di samping itu, pihak JPNS dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi berkaitan memberi jaminan dan komitmen untuk bekerjasama di dalam mengawal dan melestarikan kawasan- kawasan jajaran ini di masa hadapan.

Lampiran

Tiada Lampiran.