Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
210) DARUL EHSAN INVESTMENT GROUP (DEIG)
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila senaraikan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan tadbir urus DEIG sejak sidang yang lalu.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) selaku pemegang saham induk Darul Ehsan Investment Group Berhad (DEIG) mengambil maklum segala pandangan yang telah diutarakan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri terhadap kepentingan penubuhan dan perlaksanaan sistem amalan tadbir urus korporat DEIG bagi memastikan bahawa ahli-ahli lembaga pengarah DEIG dan juga pihak pengurusan DEIG menjalankan operasi berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban, integriti, cekap, telus dan profesional demi menjaga kepentingan pemegang sahamnya, MBI dan seterusnya dengan izin, its ultimate stakeholder, iaitu Kerajaan Negeri dan juga rakyat
Untuk itu, MBI telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk merangka satu sistem amalan tadbir urus korporat DEIG.
Draf sistem tadbir urus korporat berkenaan sudah dihantar kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah MBI dan seterusnya mana-mana jawatankuasa dewan sekiranya diminta.
-
Sila nyatakan perkembangan pertubuhan dan operasi DEIG terutamanya dari segi rancangan penstrukturan semula anak-anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI).
Secara dasarnya, MBI bersetuju bahawa sebelum memulakan operasi, DEIG sendiri hendaklah terlebih dahulu mematuhi amalan-amalan terbaik yang termaktub di dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia. Di antara sistem amalan tadbir urus korporat DEIG yang akan diguna pakai adalah berhubung dengan komposisi ahli-ahli lembaga pengarah DEIG dan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa yang tertentu bagi mengawal selia perjalanan organisasi DEIG. Setiap jawatankuasa ini akan menjalankan tugas-tugasnya berdasarkan terma rujukan yang jelas.
Selain itu, elemen utama dalam penstrukturan ini kelak adalah dengan meletakkan anak-anak syarikat MBI di bawah kluster yang khusus supaya duplikasi aktiviti ekonomi tidak lagi wujud.
Buat masa ini, pengurusan MBI memberi tumpuan kepada aspek ketelusan dan urus tadbir korporat terlebih dahulu sebelum melaksanakan langkah penstrukturan sepenuhnya kelak.