Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

142) KAJIAN KADAR KEMISKINAN

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum Serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)?

    Sepertimana kita sedia maklum, berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun 2014. Selain itu, pendapatan isi rumah bulanan purata di Negeri Selangor adalah berjumlah RM8,252.00. Namun begitu, laporan tersebut dilihat tidak menggambarkan kadar kemiskinan yang realistik di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membasmi kemiskinan secara total dan efektif, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian bermula pada Mac 2015 hingga Mac 2016. Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk membuat perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk di Negeri Selangor mengikut daerah dan kaum serta menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor yang terkini.

    Sehingga 16 Oktober 2015, instrumen kajian iaitu soal selidik yang inklusif telah dapat diuji dari segi tahap kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability). Instrumen kajian ini dibina berdasarkan kerangka Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index- MPI) serta 18 item utama yang diambil berdasarkan analisis perbandingan model PGK. Elemen kesahan dan kebolehpercayaan ini adalah signifikan bagi sesebuah kajian berbentuk akademik kerana ia mendasari ukuran keabsahan sesuatu penyelidikan. Oleh yang demikian, pihak UNISEL dan UTAR telah menguji instrumen ini dengan mendapatkan kesahan kandungan (content validity) melalui konsultasi dan laporan dari pakar rujuk serta perolehan nilai croncbach alpha melalui perisian SPSS versi 20 untuk pengesahan kebolehpercayaan.

    Seramai lapan (8) orang pakar rujuk dalam bidang berkaitan dan berpengalaman dalam kajian kemiskinan yang terdiri daripada pelbagai institusi/ organisasi akademik dan bukan akademik telah dirujuk bagi menilai instrumen dan metodologi kajian. Secara umumnya, ulasan dari pakar rujuk menunjukkan bahawa instrumen yang dibina adalah memenuhi objektif kajian.

    Instrumen yang telah dibina ini kemudiannya digunakan di dalam kajian rintis (pilot test) yang bertujuan untuk menguji jenis instrumen yang sesuai digunakan bagi mencapai objektif kajian, menentukan ketepatan cara pemilihan persampelan serta menguji tahap kebolehpercayaan instrumen. Kajian rintis (pilot test) telah dijalankan selama seminggu, iaitu pada September 2015 serta melibatkan jumlah keseluruhan 100 buah keluarga sebagai responden. Pihak UNISEL telah menjalankan kajian rintis (pilot test) di kawasan luar bandar yang melibatkan 50 buah keluarga di Kampung Bestari Jaya. Manakala pihak UTAR pula telah menjalankan kajian rintis (pilot test) di kawasan bandar yang melibatkan 50 buah keluarga di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya.

    Setelah itu, pengumpulan data kajian secara makro akan dilaksanakan di seluruh Negeri Selangor menggunakan empat (4) kaedah pengumpulan data secara kuantitatif dan kualitatif dengan jumlah keseluruhan sampel sebanyak 10,000. Pengumpulan data ini akan diselaraskan melalui penubuhan jawatankuasa seperti ketua penyelidik bagi setiap daerah, penyelidik daerah serta dibantu oleh enumerator yang telah dan akan dilatih. Rangka kerja yang tersusun ini adalah signifikan bagi memastikan pengumpulan data yang dijalankan adalah mengikut jadual perancangan kajian serta mencapai objektif dan matlamat kajian.

  2. Apakah Kerajaan Negeri yakin dengan kredibiliti kajian tersebut?

    Asas pembinaan instrumen kajian ini iaitu soal selidik telah dilaksanakan terperinci dengan mengambil kira model PGK daripada pelbagai institusi/ organisasi yang diiktiraf dunia di samping mendapat khidmat nasihat daripada pakar rujuk yang berpengalaman luas di dalam bidang ekonomi dan isu kemiskinan. Analisis perbandingan model PGK ini adalah terdiri daripada pelbagai sumber merangkumi Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Bank Pembangunan Asia (IDB), United Nation Development Programme (UNDP), Organisation of Economic Co-operation and Development (OECD), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Bank Dunia dan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multi-Dimensional Poverty Index -MPI).

     

    Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multi-Dimensional Poverty Index (MPI)) adalah pendekatan pengukuran kemiskinan relatif yang digunakan sebagai asas pengiraan PGK Negeri Selangor. Instrumen di dalam kajian iaitu soal selidik yang inklusif telah diuji dari segi tahap kesahan (validity) dan kebolehpercayaan

     

    (reliability). Instrumen ini telah dibina berdasarkan kerangka Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multi-Dimensional Poverty Index -MPI) serta 18 item utama yang diambil berdasarkan analisis perbandingan model PGK.

     

    Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi Global Tahun 2015 (Global Multidimensional Poverty Index 2015 – MPI) merupakan pengukuran antarabangsa terhadap masalah kemiskinan yang semakin meruncing meliputi

    110 buah negara membangun. MPI melengkapi pengukuran kemiskinan berdasarkan pendapatan bagi pelbagai kekurangan yang dihadapi dalam satu masa.

     

    MPI adalah terdiri daripada tiga (3) dimensi yang merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup. Ianya menggunapakai sepuluh (10) petunjuk/ indikator iaitu nutrisi, kadar kematian kanak-kanak, tempoh/ tahun persekolahan, kehadiran persekolahan, bahan api/ minyak masak, penjagaan pembersihan yang lebih baik, minuman air bersih, bekalan elektrik, tingkat/ lantai dan aset. Setiap dimensi diberikan pemberat sebanyak satu pertiga. Pendekatan yang terdiri daripada tiga (3) dimensi dengan sepuluh (10) indikator ini mencerminkan kedua-dua insiden ketersisihan pelbagai dimensi (bilangan penduduk yang mengalami ketersisihan dalam pelbagai aspek kehidupan dalam populasi tertentu) dan intensiti (berapa batas ketersisihan dialami secara purata pada sesuatu masa). Menurut MPI, seseorang/ seisi rumah yang mengalami ketersisihan dalam sekurang-kurangnya satu pertiga daripada indikator wajaran dianggap sebagai mudah terjejas atau berhadapan dengan risiko menjadi miskin dari pelbagai dimensi. Berikut merupakan gambarajah bagi mengukur kemiskinan dari pelbagai dimensi (multidimensional):-

    Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multi-Dimensional Poverty Index(MPI))

     

    Di Malaysia, secara tradisinya, kemiskinan diukur dalam satu dimensi, iaitu menggunakan PGK. Isi rumah yang tidak mencapai tahap pendapatan tertentu dianggap miskin. Pada tahun 2010, United Nations Development Programme (UNDP) telah memperkenalkan MPI dalam Human Development Report. Selaras dengan ini, Malaysia juga telah membangunkan pengukuran MPI di peringkat nasional yang bersesuaian dengan kesejahteraan sosioekonomi dan rangka kerja pembangunan negara. Penggunaan MPI akan memastikan pertimbangan sesuatu dasar akan beralih melangkaui isu kemiskinan termasuk isi rumah mudah terjejas. MPI akan melengkapi PGK bagi mengukur dan memantau kemiskinan dari perspektif pelbagai dimensi.

     

    Sebagai makluman, berdasarkan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMKe-11) yang telah disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri pada 21 Mei 2015, MPI turut diperkenalkan dan akan digunapakai di peringkat nasional untuk melengkapkan pengukuran PGK dalam usaha memastikan elemen mudah terjejas dan kualiti hidup diambilkira sebagai pengukuran tambahan kepada pendapatan. MPI akan mengukur akses kepada kemudahan dan perkhidmatan asas yang membantu mobiliti sosial dan membolehkan analisis berasaskan intensiti, dan seterusnya mengenalpasti keperluan isi  rumah berpendapatan rendah dengan lebih jelas.

     

    Selain itu, bagi memastikan instrumen yang digunapakai adalah bersesuaian serta memenuhi objektif dan matlamat kajian, pihak UNISEL dan UTAR telah mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan daripada lapan (8) orang pakar rujuk (subject matter experts) daripada pelbagai Institut/Organisasi akademik dan bukan akademik yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan ekonomi dan isu kemiskinan untuk menilai instrument kajian. Berikut merupakan senarai pakar rujuk (subject matter experts) tersebut:-

     

     

    BIL. SENARAI PAKAR RUJUK
    1. YBrs. Prof. Dr. Mansor Bin Mohd. Noor, Ketua Kluster Perpaduan Nasional,

    Jabatan Perdana Menteri dan

    Profesor di Institut Kajian Etnik (KITA),

    Universiti Kebangsaan Malaysia

    2. YBrs. Prof. Dr. Azami Zaharim, Felo Bersekutu Utama Kanan,

    Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,

    Universiti Kebangsaan Malaysia

    3. YBrs. Prof. Dr. Barjoyai Bardai

    Pengarah Program MBA Kewangan Islam Antarabangsa Universiti Tun Abdul Razak

     

    BIL. SENARAI PAKAR RUJUK
    4. YBrs. Prof. Madya. Dr. Hajah Fatimah Kari Ketua Jabatan Ekonomi,

    Fakulti Ekonomi & Pentadbiran,

    Universiti Malaya

    5. YBrs. Prof. Madya Dr. Sity Daud

    Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan,

    Universiti Kebangsaan Malaysia,

    6. Dr. Lee Hwok Aun,

    Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran,

    Universiti Malaya

    7. Encik Christopher Choong Weng Wai

    Ahli Ekonomi/ Pengurus Program UNDP di Malaysia

    8. Profesor Emeritus Dr. Chamsuri Siwar,

    Profesor Emeritus di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI),

    Universiti Kebangsaan Malaysia

     

    Oleh yang demikian, berdasarkan penerangan dan justifikasi yang dinyatakan, ini menunjukkan bahawa instrumen dan metodologi yang digunapakai di dalam kajian ini adalah boleh dipercayai serta setanding dengan kaedah yang digunapakai di peringkat nasional dan di peringkat global/ antarabangsa. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri yakin akan kredibiliti dan kewibawaan perunding yang dilantik, iaitu UNISEL dan UTAR dalam menghasilkan kajian yang lengkap, inklusif, mampu memberikan gambaran secara jelas dan tepat berhubung kadar sebenar kemiskinan di Negeri Selangor serta akhirnya dapat menetapkan PGK terkini Negeri Selangor secara relevan dan tepat.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.