Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
84) KUOTA JUALAN BUMIPUTERA
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah piawaian dalam penetapan kuota jualan bumiputera bagi setiap jenis projek pembangunan?
Untuk makluman Yang Berhormat, setiap pembangunan perumahan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri telah diperuntukkan kuota jualan Bumiputera, ianya bagi memastikan dan sebagai jaminan oleh Kerajaan Negeri kepada kaum Bumiputera dapat memiliki hartanah Bumiputera bagi sesuatu projek yang bakal dibangunkan. Kuota jualan Bumiputera yang dikenakan kepada pemaju adalah di antara 30 peratus hingga 70 peratus berdasarkan garis panduan sedia ada dan kelulusan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
-
Apakah mekanisma menyeluruh untuk pengurangan kuota jualan bumiputera bagi projek pembangunan perumahan yang tidak mendapat sambutan daripada golongan bumiputera?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri pada 11 Ogos 2011 telah meluluskan Mekanisme Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor sebagai panduan kepada semua agensi kerajaan dan swasta khususnya pemaju dalam proses permohonan pelepasan unit-unit hartanah kuota Bumiputera.
Terdapat syarat- syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju sebelum sesuatu rayuan permohonan pelepasan kuota Bumiputera diberikan, pemaju perlu mengemukakan beberapa maklumat atau aktiviti kepada LPHS seperti berikut :
- Laporan projek yang mengandungi statistik jualan;
- Salinan keratan akhbar- akhbar tempatan, majalah, portal (website) yang mempromosikan hartanah- hartanah milik pemaju;
- Salinan Sijil Perakuan Arkitek yang menunjukkan kemajuan projek di tapak;
- Menyertai pameran hartanah Bumiputera yang dianjurkan sama ada oleh LPHS atau pihak
Selain itu, pemaju perlu terlebih dahulu menjual kesemua unit- unit hartanah kuota bukan Bumiputera sebelum boleh memohon untuk pelepasan kuota Bumiputera.
-
Apakah cara untuk mengeluarkan hak milik individu kepada pembeli yang membeli harta dibawah kuota bumiputera tanpa kesedaran akibat pemaju tidak mematuhi penetapan syarat tersebut?
Untuk makluman Yang Berhormat, pemaju- pemaju yang tidak mematuhi jualan hartanah kuota Bumiputera yang telah disyaratkan, akan dikenakan bayaran sebanyak 12% bagi hartanah kediaman dan 15% bagi hartanah komersial dan industri daripada harga jualan setiap hartanah tersebut. Kerajaan Negeri tidak akan memproses permohonan pindah milik (Blanket Consent) pembeli-pembeli selagi pemaju tidak menjelaskan bayaran
Namun begitu, di atas keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembeli- pembeli tersebut, pemaju dibenarkan untuk membuat bayaran tersebut secara ansuran ataupun secara kontra dengan mana- mana hartanah milik pemaju dengan syarat nilaian hartanah tersebut mestilah sama dengan jumlah bayaran yang perlu dibayar. Setelah selesai urusan tersebut, maka Kerajaan Negeri akan segera memproses permohonan pindah milik pembeli- pembeli tersebut.