Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

318) PAYA INDAH WETLANDS

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Paya Indah Wetlands Dengkil berpotensi sebagai produk menarik pelancong dari luar dan dalam negara. Apakah strategi kerajaan negeri untuk mempromosikan produk ini?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor Sdn. Bhd. (TSSB) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhilitan Negeri Selangor untuk mempromosikan produk ini sebagai salah satu produk pelancongan yang perlu dikunjungi kerana mempunyai keunikan yang tersendiri. Antara strategi Kerajaan Negeri untuk mempromosikan produk ini dengan lebih efektif adalah seperti berikut:

                i.            Penganjuran Program

    Pelbagai program telah dilaksana dan dirancang untuk dijalankan dengan penglibatan pelbagai agensi. Antara program-program yang dilaksanakan adalah ‘TS Day Out – Kuala Langat 2013’ dan ‘MTB Jamboree D’Paya Indah Wetlands’.

                ii.          Pengedaran Risalah

    Kerajaan Negeri melalui TSSB mengedarkan risalah berkaitan PIW semasa siri promosi pameran yang dijalankan di dalam dan luar negara .

                iii.         Promosi Di Terbitan Pelancongan

    Kerajaan Negeri melalui TSSB menyenarai dan mempromosikan PIW di dalam terbitan rasminya iaitu Selangor Breakaway yang diberikan secara percuma kepada orang awam.

  2. Apakah langkah kerajaan negeri untuk memastikan paya indah ini terus terpelihara?

    Paya Indah Wetlands (PIW) mempunyai keluasan kawasan seluas 450.76 hektar dan ianya harus dipelihara daripada sebarang aktiviti pencerobohan yang boleh merosakkan keadaan alam semula jadi dan hidupan yang terdapat di sekitarnya. Sehubungan itu, bagi memastikan kawasan ini terus terpelihara, Kerajaan Negeri telah mewartakan kawasan ini sebagai Rezab Tanah Lembap di bawah Kanun Tanah Negara (Akta 56). Langkah ini amat penting bagi memastikan kesinambungan ekosistem yang terdapat di kawasan ini terus terpelihara bagi generasi yang datang.

  3. Adakah kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi memelihara kawasan- kawasan semula jadi seperti ini?

    Setakat ini Kerajaan Negeri tidak menyediakan peruntukan khas bagi memelihara kawasan ini. Walau bagaimanapun, usaha untuk mempromosikan produk ini melalui Tourism Selangor Sdn. Bhd. akan terus dijalankan dari masa ke semasa.

    Jawapan dari Jabatan Perhilitan

    1. Dalam usaha mempromosi Paya Indah Wetlands (PIW) sebagai produk pelancongan, Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan PIW telah dan akan meneruskan pelaksanaan program-program seperti Program “TS Day Out-Kuala Langat 2013” bersama Tourism Selangor, Program “MTB Jamboree D’ Paya Indah Wetlands” anjuran bersama Majlis Daerah Kuala Langat dan Jemputan ke Seminar “Safety In Tourism” anjuran Tourism Selangor. Aktiviti ini merupakan aktiviti tambahan kepada program yang dijalankan oleh pihak pengurusan PIW sendiri dari semasa ke semasa.
    2. Kawasan seluas 450.76 hektar telah diwartakan di bawah Rezab Tanah Lembap di bawah Kanun Tanah Negara (Akta 56). Langkah ini antara lain adalah untuk memastikan kawasan ini akan terus terpelihara.
    3. Buat masa ini, tiada peruntukan khas dari Kerajaan Negeri disediakan untuk PIW.

Lampiran

Tiada Lampiran.