Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

316) PEMBINAAN RUMAH IBADAT

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah garis panduan yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan membina rumah ibadat bukan Islam ?

    Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam Negeri Selangor telah mengguna pakai satu garis panduan yang dikenali sebagai Garis Panduan Berhubung Hal Ehwal Selain Islam dan Peranan Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam Negeri Selangor.

    Antara fungsi dan peranan Jawatankuasa ini adalah :

    • Menyelesaikan masalah isu-isu mengenai bangunan-bangunan keagamaan bukan Islam.
    • Memperakukan permohonan pemberimilikan tanah bagi tapak baru dan penggantian tapak bangunan keagamaan bukan Islam.
    • Setiap bangunan keagamaan selain Islam yang berusia lebih daripada seratus tahun yang dibina di atas tanah persendirian mahupun tanah kerajaan harus diiktiraf sebagai bangunan bersejarah bagi mengelakkan berlaku sebarang pencerobohan berpandukan Akta Antikuiti 1976.
    • Memperakukan kelulusan pelan bangunan keagamaan selain Islam.
    • Mengesyorkan bantuan kewangan yang setimpal diberikan kepada bangunan keagamaan yang layak.
    • Menentukan jangka masa yang sesuai bagi tujuan pemindahan mana-mana bangunan keagamaan.
    • Setiap permohonan tanah yang disampaikan ke pejabat tanah harus dikaji dan diambil tindakan susulan untuk dikemukakan bagi kelulusan jawatankuasa dalam masa enam (6) bulan.
    • Pemaju diminta menyediakan tapak bangunan keagamaan bukan Islam bagi pembangunan melebihi 100 ekar.
  2. Apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan sesuatu lokasi rumah ibadat didirikan ?

    Kriteria yang digunakan untuk menentukan sesuatu lokasi rumah ibadat didirikan telah terdapat di dalam Garis Panduan Berhubung Hal Ehwal Selain Islam dan Peranan Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam Negeri Selangor di bawah Perkara 5 iaitu Pembinaan Bangunan Keagamaan Selain Islam.

    Antara kriteria tersebut adalah seperti berikut :

    1. Setiap permohonan pembinaan Setiap permohonan pembinaan bangunan keagamaan hendaklah dipohon atas nama persatuan melalui Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
    2. Keluasan tanah untuk kegunaan bangunan keagamaan selain Islam sedia ada di tapak adalah mengikut keluasan asal bangunan tersebut. Keluasan bangunan keagamaan selain Islam di tapak baru sama ada disediakan oleh kerajaan atau pemaju dan bagi tujuan pemindahan adalah ditetapkan tidak melebihi 10,000 kaki persegi. Walau bagaimanapun, jawatankuasa boleh mempertimbangkan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi mengikut kes-kes tertentu.
    3. Tapak bangunan keagamaan selain Islam tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang TNB.
    4. Pembinaan bangunan keagamaan selain Islam adalah tidak dibenarkan di bina di kawasan lapang.
    5. Penentuan jenis bangunan keagamaan selain Islam adalah ditetapkan mengikut komposisi kaum.

    6 Ketinggian yang dibenarkan adalah tertakluk kepada garis panduan dan undang-undang yang diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    1. Pembinaan bangunan keagamaan selain Islam tidak akan menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam atau lalu lintas.
    2. Bangunan keagamaan yang dipindahkan dicadangkan untuk ditempatkan secara tetap.
  3. Apakah tindakan Kerajaan Negeri jika terdapat bantahan rakyat di sekitar kawasan tersebut yang tak bersetuju terhadap pembinaan rumah ibadat itu ?

    Sekiranya terdapat bantahan terhadap pembinaan sesuatu rumah ibadat, pihak Pejabat Daerah & Tanah atau Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat perlu membawa perkara ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam untuk dibentangkan dan dibincangkan. Melalui perbincangan tersebut, satu kata putus akan dicapai dan pihak yang terlibat perlu mengambil tindakan berdasarkan keputusan yang telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Selain Islam tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.