Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
310) BAS AWAM PERCUMA
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Lapan buah PBT bertaraf bandaraya dan perbandaran telah mencadangkan perkhidmatan bas awam percuma. Apakah status terkini cadangan tersebut?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan program perkhidmatan bas awam percuma yang juga dikenali sebagai bas komuniti. Antara PBT yang telah melaksanakan program ini adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) iaitu Perkhidmatan Bas Komuniti Shah Alam yang telah mula beroperasi pada 4 Mac 2014 (Selasa) bermula di Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dan melalui Seksyen 2, 7, 11, 14, 15, 16, 17 dan 18.
Bas ini beroperasi pada hari bekerja sahaja (Isnin – Jumaat). Perkhidmatan Bas Komuniti beroperasi 3 kali sehari dari Hentian Pusat Bandaraya jam 7.30 pagi, 11.30 pagi dan 4.30 petang. Seperti yang telah semua maklum, perkhidmatan bas percuma di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dilaksanakan sejak bulan Julai 2008. Perkhidmatan ini diberikan dari jam 9.30 pagi sehingga jam 2.30 petang dan bas memuatkan kapasiti seramai 30 orang. MBPJ mempunyai 2 buah bas komuniti yang meliputi laluan mengikut zon iaitu
Zon Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Zon Petaling Jaya Utara (PJU). Manakala PBT yang telah mengemukakan cadangan pelaksanaan perkhidmatan bas percuma akan mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri secara berperingkat kerana Kerajaan Negeri dan PBT juga perlu memberi penelitian yang rapi akan usaha menyediakan perkhidmatan bas awam percuma kerana melibatkan perbelanjaan yang tinggi dari segi kos dan pelaburan.
-
Apakah konsep perkhidmatan bas ini dan siapakah pengendalinya?
Perkhidmatan bas percuma ini dikendalikan sendiri oleh PBT dan konsep perkhidmatan bas percuma ini meliputi perkara di bawah iaitu:-
- Kawasan kepadatan penduduk yang tinggi terutamanya kawasan-
kawasan perumahan,
- Kawasan berpendapatan sederhana,
- Kawasan yang tiada perkhidmatan bas ke pusat bandar dan pusat tumpuan,
- Keutamaan kepada warga emas, golongan OKU dan kanak-kanak.
-
Berapa unitkah bas yang akan digunakan dan anggaran kos bulanan bagi lapan PBT tersebut?
Bilangan bas dan anggaran kos yang perlu ditanggung PBT adalah seperti berikut:
i) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
Kos yang ditanggung oleh MBSA adalah sebanyak RM629,076.00 setahun. Ini melibatkan kos bagi pembelian bas, kos petrol/minyak, servis enjin, pemandu dan kos penyelenggaraan yang melibatkan sebuah bas.
ii) Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
Kos yang ditanggung oleh MBPJ adalah sebanyak RM418,000.00 yang melibatkan pembelian dua (2) buah bas dan kos penyelenggaraan setahun.
iii) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
Kos yang ditanggung oleh MPSJ bagi pembelian sebuah bas serta kos penyelenggaraan dan pengurusan adalah sebanyak RM346,000.00. Manakala kos bagi penyewaan bas adalah RM420,000.00 hingga RM584,000.00 bergantung kepada syarikat penyedia bas.
iv) Perbandaran Kajang (MPKj)
Kos yang perlu ditanggung oleh MPKj bagi sebuah bas adalah sebanyak RM120,000.00 setahun bagi kos perkhidmatan dengan kaedah pelaksanaan secara kontrak atau perjanjian antara MPKj dan syarikat pengangkutan bas sedia ada.