Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

295) PERAYAAN KAUM-KAUM

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program-program bagi meraikan perayaan kaum-kaum di Selangor?

    Dalam usaha Kerajaan Negeri mengukuhkan perpaduan rakyat, beberapa program perayaan telah dilaksanakan bagi menghormati perayaan semua kaum di Negeri Selangor, antaranya :

    1. Program Jom Shopping Aidilfitri
    2. Program sambutan Hari Raya Korban / Raya Haji
    3. Program Sambutan Tahun Baru Cina
    4. Sambutan Hari Wesak
    5. Program Jom Shopping Deepavali
    6. Program Pesta Ponggal
    7. Program Pesta Thaipusam
    8. Sambutan Hari Natal

    Bagi sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina, Kerajaan Negeri telah mengadakan satu Program berbentuk Pemberian Baucer bernilai RM100. Program tersebut telah diberikan mengikut DUN. Pecahan pemberian baucer mengikut perayaan kepada 56 DUN adalah seperti berikut :

    I.        Hari Raya Aidilfitri – 500 orang penerima
    II.       Sambutan Deepavali – 300 orang penerima
    III.      Tahun Baru Cina – 300 orang penerima

    Pemberian tersebut adalah sebagai sumbangan untuk menyambut perayaan dengan membeli barangan keperluan asas. Dengan cara ini, golongan yang kurang berkemampuan khususnya dapat sedikit sebanyak menyambut perayaan mereka dengan lebih meriah.

    Pada Sambutan Hari Raya Haji pula, Kerajaan Negeri di bawah peruntukan Dato’ Menteri Besar Selangor telah menyumbangkan lembu untuk dikorbankan di kawasan-kawasan yang memerlukan. Sumbangan tersebut adalah bertujuan untuk umat islam sama-sama dapat merasai agihan daging lembu di samping dapat meringankan beban dan mengurangkan kos penyediaan sajian pada hari raya haji.

    Setiap kali perayaan –perayaan seperti ini disambut, ia akan disertai dan dimeriahkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Perayaan tersebut bukan sahaja dihadiri oleh rakyat Selangor, malahan dimeriahkan oleh rakyat di kawasan luar Selangor terutama pada Program Pesta Thaipusam yang diadakan di Batu Caves Selangor. Dari apa yang dilihat, pesta tersebut dihadiri oleh masyarakat India di dalam dan juga luar negara kerana perayaan tersebut antara acara perayaan utama di peringkat  nasional. Dalam pada itu, perayaan Aidilfitri, Deepavali Tahun Baru Cina dan Krismas juga dilihat sebagi kesempatan terbaik untuk mempromosikan Negeri Selangor yang bukan sahaja sebagai pusat pelancongan malahan program seumpama ini dapat merapatkan jurang antara pemimpin dan masyarakat.

  2. Berapakah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk program-program tersebut ?

    Anggaran kos perbelanjaan yang telah digunakan untuk melaksana program tersebut dalam setahun adalah :

    BIL PERAYAAN PERBELANJAAN
    1. Hari Raya Aidilfitri RM250,000.00
    2. Hari Raya Korban Peruntukan Dato’ Menteri Besar Selangor
    3. Tahun Baru Cina RM250,000.00
    4. Sambutan Deepavali RM250,000.00
    5. Hari Weesak RM90,000.00
    6. Sambutan Thaipusam RM90,000.00
    7. Sambutan Krismas RM250,000.00
  3. Sejauh manakah keberkesanan program tersebut menepati objektif penganjurannya?

    Objektif utama Kerajaan Negeri menganjurkan program-program tersebut adalah untuk menghormati perayaan utama yang disambut terutama oleh kaum lain di Negeri Selangor di samping bagi membentuk perpaduan antara kaum.Keberkesanan pesta sedemikian dapat dilihat pada kunjungan oleh pelbagai kaum dari seluruh negara dengan tidak mengira bangsa dan agama bagi memeriahkan pesta perayaan tersebut.Dengan cara ini, semangat perpaduan kaum di Negeri Selangor akan bertambah kuat. Ini juga sebagai satu cara mempromosikan Negeri kita di mata pelancong di samping dapat memperkenalkan budaya-budaya yang terdapat di Malaysia terutama kepada masyarakat di dalam dan luar negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.