Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

273) KADAR PENYEDIAAN DAN PERMINTAAN BEKALAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kadar penyediaan dan permintaan bekalan air terkini dan unjurannya di Selangor?

    Terdapat  34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor yang beroperasi untuk merawat air mentah dari sungai-sungai utama di Negeri Selangor antaranya seperti Sungai Selangor, Sungai Semenyih, Sungai Langat bagi membekalkan air terawat kepada SYABAS untuk diagihkan kepada pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Dari segi reka bentuk, 34 loji boleh mengeluarkan sebanyak  4,606 JLH air terawat. Keupayaan optimum berdasarkan kepada rekod pengeluaran tertinggi yang pernah dicapai oleh kesemua loji ini adalah sebanyak 5,282 JLH. Namun jumlah air terawat yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah berubah-ubah seperti berikut:-

    4371JLH 12 Mac 2012
    4411 JLH 19 Julai 2012
    4436 JLH 01 September 2012
    4546 JLH 22 Januari 2013
    4566 JLH 05 Mac 2013
    4661JLH 01 April 2013
    4686 JLH 01 Julai 2013

    Manakala, purata jumlah air terawat yang dibilkan kepada pengguna setakat tahun 2013 adalah sebanyak 3014JLH.

    Berdasarkan data pengeluaran oleh 34 Loji Rawatan Air yang direkodkan sebanyak 4686 JLH dan data pengebilan yang direkodkan oleh SYABAS sebanyak 3014JLH, dianggarkan sebanyak 1672JLH atau 35% air terawat hilang sebagai air tidak berhasil (NRW). Justeru itu, sekiranya masalah NRW tidak diatasi, maka sebanyak mana jua air terawat dari mana-mana sumber yang dimasukkan ke dalam sistem agihan, sebanyak 35% akan hilang sebagai NRW sedangkan kos setiap meter padu air tersebut telah pun dikira dan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif.

    Di dalam beberapa perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), adalah dicadangkan bahawa rizab bekalan air yang terbaik perlu disediakan adalah pada tahap 10% – 20% bagi mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

    Berdasarkan kepada rizab bekalan air yang tipis, Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa  selain dari menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan kapasiti bekalan air yang mencukupi, adalah juga menjadi tanggung jawab Kerajaan Negeri  Selangor untuk memastikan bahawa SYABAS selaku operator tunggal yang dipertanggungjawabkan dalam membekal dan mengagihkan air bersih kepada pengguna merupakan operator yang benarbenar berkemampuan dan kompeten dalam memenuhi tanggungjawab sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi.

    Kegagalan SYABAS dalam menurunkan NRW kepada 19.98% seperti dijanjikan dalam perjanjian konsesi menunjukkan bahawa SYABAS merupakan operator yang tidak kompeten dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan obligasi sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi. Kegagalan SYABAS menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan SYABAS. Kapasiti  663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.

    Tidak dinafikan bahawa penyediaan rizab bekalan air yang munasabah adalah penting bagi mengelakkan gangguan bekalan air.  Namun demikian, dari segi operasi pembekalan dan pengagihan air kepada pengguna, keupayaan paip mengagihkan air yang ada adalah juga merupakan faktor utama bagi mengurangkan gangguan.   Di dalam beberapa perbincangan dengan pihak SPAN, telah diperakukan bahawa terdapat kekangan dalam sistem paip agihan sehingga menyebabkan air yang tersedia dikeluarkan oleh loji rawatan air tidak dapat dibekal dan diagihkan sepenuhnya kepada pengguna.

    Selain dari kekangan  sistem paip agihan, didapati bahawa di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya belum mempunyai sistem maximum conectivity yang boleh menghubungkan bekalan dari semua loji utama sedia ada. Sebagai contohnya, kebanyakan loji rawatan air terletak di utara Negeri Selangor dan mendapat sumber air mentah dari Sungai Selangor, sekiranya berlaku pencemaran sumber air mentah hingga menyebabkan loji tidak boleh membuat pengeluaran air bersih, jika terdapat maximum conectivity maka air dari loji yang berada di bahagian selatan seperti Loji Sungai Semenyih dan Loji Sungai Langat boleh membantu mengurangkan gangguan kepada pengguna.

    Kerajaan Negeri Selangor telah meneliti dan memantau kemampuan operator air sedia ada dan mendapati banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.  Justeru itu, bagi mengatasi segala masalah dan kekangan operasi termasuk masalah ketidak cukupan air adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor di bawah Model Holistik.

    Dari segi unjuran permintaan air, Kerajaan Negeri Selangor mengambil kira faktor production growth, consumption growth bill dan penurunan NRW.  Dalam penurunan NRW, Kerajaan Negeri mengguna pakai penurunan 1% setiap tahun dalam unjuran yang dibuat.  Ini adalah berdasarkan kepada fahaman dalam pembangunan baru, kadar NRW adalah lebih rendah berbanding kadar NRW di dalam kawasan pembangunan sedia ada.  Faktor ini adalah disebabkan pembangunan baru menggunakan sistem paip dan meter air baru manakala pembangunan sedia ada penggantungan adalah kepada sistem paip  dan meter yang telah lama, usang dan kebanyakannya rosak.

    Berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah diambil kira dalam membuat unjuran, Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa bekalan air yang dikeluarkan oleh 34 loji adalah mencukupi sehingga tahun 2017.  Namun demikian, sumbersumber baru perlulah diterokai bagi menampung permintaan air pada tahun 2017.

  2. Senaraikan nama, jumlah pemohon dan lokasi pihak pemaju dan industri yang tidak mendapat sokongan dari SYABAS kerana kekurangan bekalan air?

    Setakat 31 Oktober 2013, sejumlah 825 permohonan pembangunan telah ditangguhkan kelulusannya oleh SYABAS.  Penelitian awal yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor mendapati terdapat pertindihan ke atas data-data yang dibekalkan oleh SYABAS itu.  Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai pertindihan data tersebut.  Dari analisis yang dibuat, nyatalah bahawa ketepatan data yang dibekalkan oleh SYABAS mengenai permohonan tertangguh adalah boleh diragui ketepatannya.

    Melalui Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS, berkuat kuasa pada 01 Januari 2005, semua aset bekalan air telah diserahkan untuk dikendalikan oleh SYABAS.   Bermula dari tarikh tersebut, SYABAS adalah satu-satunya pihak tunggal yang telah diberikan kuasa untuk mengendalikan, menyelenggarakan dan mengoperasikan semua aset air di Negeri Selangor, wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Pada masa yang sama, SPAN telah melantik SYABAS sebagai Agensi Perakuan (Certifying Agency) bagi memperakukan permohonan-permohonan projek pembangunan baru.

    Sebagai operator agihan tunggal dan Agensi Perakuan, segala kawalan ke atas data operasi bekalan air adalah dalam maklumat SYABAS. Tekanan air adalah di bawah operasi SYABAS.  Setiap kali berlakunya gangguan bekalan air atau permohonan pembangunan baru yang tidak disokong, SYABAS akan menunding jari kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana isu ketidak cukupan air.

    Hakikat sebenar yang berlaku, sebagai operator SYABAS telah tidak kompeten dalam melaksanakan tanggung jawab untuk membekalkan air kepada pengguna. SYABAS mendesak supaya sumber air ditambah ke dalam sistem agihan, sedangkan SYABAS tidak pernah mengakui kelemahan dalam menangani masalah Air Tidak Berhasil (NRW).  Kejadian paip pecah dan paip bocor yang tidak terkawal telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air kepada pengguna.

    SYABAS telah meminta Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Surat Aku janji dan Tanggung Rugi  sekiranya Kerajaan Negeri Selangor mahu SYABAS meluluskan permohonan pembangunan baru yang ditangguhkan. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa tindakan SYABAS meminta Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Surat Aku janji dan Tanggung Rugi  secara tidak langsung menunjukkan bahawa SYABAS tidak berkemampuan dan tidak kompeten di dalam memenuhi tanggung jawab membekal dan mengagihkan air terawat sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi.

    Tindakan SYABAS yang tidak kompeten itu jelas melanggar aku janji pihak SYABAS bahawa “it has the financial, technical, management capability and all other necessary and appropriate skills and qualities to undertake the Concession”. Pihak SYABAS juga di bawah Perjanjian Konsesi telah bersetuju menerima dan melaksanakan konsesi “at its own risk, cost and expense”. Ini menunjukkan bahawa pihak SYABAS telah pun bersedia untuk menerima dan melaksanakan konsesi yang diberikan semasa menandatangani Perjanjian Konsesi.

    Satu mesyuarat telah diadakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan pihak SPAN pada 3 Disember 2013 berkenaan kaedah untuk menyelesaikan permohonan tertangguh ini. Pihak SPAN telah meminta supaya Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan surat aku janji kepada SPAN bagi membolehkan SPAN meluluskan permohonan kelulusan pembangunan yang ditangguhkan oleh SPAN atas alasan ketidakcukupan air.

    Lanjutan dari mesyuarat tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 37/2013 yang bersidang pada 04 Disember 2013 dan telah disahkan oleh MMKN ke 39/2013 pada 18 Disember 2013 telah bersetuju memberi jaminan kepada SPAN bekalan air dapat dibekalkan sepenuhnya sehingga tahun 2016, MMKN bersetuju seperti berikut:-

    1. YB Setiausaha Kerajaan Negeri mengemukakan surat aku janji kepada SPAN bahawa Kerajaan Negeri memberi jaminan menanggung rugi ke atas sebarang tindakan, prosiding tuntutan kerugian, ganti rugi, bayaran atau kos mungkin dituntut atau ditanggung atau dikenakan ke atas SPAN akibat ketidakupayaan Kerajaan Negeri membekalkan air sebagai balasan persetujuan SPAN menimbang semula 878 permohonan Kebenaran Merancang yang telah dikemukakan oleh pemaju;
    2. Persetujuan menanggung rugi ini adalah tertakluk dan terpakai selagi tidak wujud kegagalan membekalkan air yang berpunca dari ketidakupayaan, ketidakmampuan dan kecuaian operator serta kegagalan Agensi Perakuan yang dilantik oleh SPAN bertindak secara profesional. Dalam hal yang sedemikian Kerajaan Negeri Selangor tidak akan bertanggungjawab dan menanggung rugi terhadap apa-apa tuntutan atau tindakan undang-undang yang diambil oleh pemaju yang tidak mendapat bekalan air sebagaimana yang diperakukan; dan
    • Aku janji ini terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Disember 2017.

    Memandangkan Kerajaan Negeri Selangor telah mengakui bahawa bekalan air bersih adalah mencukupi sehingga tahun 2017 dan sedang menjalankan usaha dan program mitigasi bagi menambahkan kapasiti bekalan air bagi menampung keperluan bekalan air terawat sebelum LRAL 2 dilaksanakan, Kerajaan Negeri Selangor juga telah bersetuju  untuk melaksanakan program mitigasi mengikut perancangan agar dapat menampung permintaan bekalan air bagi projek yang diluluskan oleh SPAN.

    Oleh yang demikian, pada hemat Kerajaan Negeri Selangor, tidak ada lagi masalah projek pembangunan tertangguh memandangkan Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan aku janji bagi menanggung rugi kepada pihak SPAN.

Lampiran

Tiada Lampiran.