Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
265) RAWATAN DIALISIS
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan statistik pesakit buah pinggang di Selangor mengikut DUN yang memerlukan rawatan dialisis?
Jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis di Negeri Selangor adalah sebanyak 17,871 orang. Manakala seramai 473 orang pesakit buah pinggang telah menikmati faedah Bantuan Kesihatan Sihat Selangor melalui pembiayaan kos rawatan dialisis bernilai RM909,854.00 sejak tahun 2010 hingga 2014 oleh Kerajaan Negeri. Pecahan lengkap mengikut daerah adalah seperti di bawah:-
BIL. DAERAH PESAKIT BUAH PINGGANG RAWATAN DIALISIS BANTUAN KESIHATAN SIHAT SELANGOR
JUMLAH MELAYU CINA INDIA 1 KLANG 3043 5 58 75 138 2 PETALING 3065 22 17 41 80 3 KUALA LANGAT 698 1 12 20 33 4 KUALA SELANGOR 179 3 30 17 50 5 SABAK BERNAM 496 – 1 1 2 6 HULU LANGAT 2995 5 25 20 50 7 GOMBAK 6712 8 22 27 57 8 SEPANG – 1 12 4 17 9 HULU SELANGOR 683 3 3 2 8 10 LAIN-LAIN KAWASAN
– 1 33 4 38 JUMLAH 17,871 49 213 211 473 Jumlah pesakit buah pinggang yang dinyatakan seperti di atas adalah mengikut kepada pesakit yang didaftarkan melalui Hospital Kerajaan di Negeri Selangor.
-
Berapakah peruntukan yang telah disediakan untuk penambahan Pusat Dialisis Rakyat (PDR) di Selangor?
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak swasta bagi melaksanakan Pusat Dialisis Rakyat. Oleh yang demikian, buat masa ini Kerajaan Negeri tidak menanggung sebarang kos bagi penubuhan dan operasi Pusat Dialisis Rakyat.
Melalui kerjasama strategik ini Kerajaan Negeri menyediakan lokasi yang sesuai bagi menempatkan PDR agar memudahkan pesakit untuk menjalani rawatan dialisis yang berdekatan dengan kawasan perumahan serta kemudahan awam seperti balai raya dan dewan orang ramai. Sebagai contoh Pusat Dialisis Rakyat Lembah Keramat dan Pusat Dialisis Rakyat Ampang.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan pembiayaan kos rawatan dialisis di Pusat-pusat hemodialisis Kerajaan dan swasta dengan kaedah pembiayaan secara “one off” sebanyak RM2,000.00 setahun bagi seorang pesakit melalui Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor. Ini dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat bagi mendapatkan khidmat rawatan dialisis yang terbaik dan berkualiti.
-
Bagaimanakah kerajaan negeri memaklumkan kewujudan PDR kepada rakyat Selangor?
Pusat Dialisis Rakyat ini adalah merupakan salah satu daripada agenda yang terkandung di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor. Oleh yang demikian, PDR ini dimaklumkan secara tidak langsung melalui program – program MES Kerajaan Negeri.
Pun begitu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjenamakan semula PDR sesuai dengan peningkatan khidmat kualiti dan rawatan yang terbaik oleh pakar sekaligus mempromosikan PDR kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor agar mendapat kemudahan yang disediakan ini.