Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
249) PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kelebihan dan manfaat yang diperoleh oleh rakyat Selangor daripada Memorandum Persefahaman Penstrukturan Industri Air Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor menekankan sebagai keperluan asas, perkhidmatan air perlu diuruskan dengan mementingkan ketelusan, akauntabiliti, efisien dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Pengurusan air yang efisien dan berdaya maju hanya boleh dicapai melalui operator yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri dan bukannya melalui syarikat persendirian yang mementingkan keuntungan sebagai matlamat utamanya.
Keadaan yang tidak holistik ini telah menyumbangkan kepada pengurusan air yang tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi. Kos operasi dalam merawat air mentah untuk dijadikan air terawat oleh operator rawatan air perlu ditanggung oleh SYABAS dalam bentuk Kadar Air Pukal (Bulk Supply Rate) di mana dalam pengiraan kadar ini turut memasukkan kadar Fixed Monthly Payment di mana kadar Air Pukal dan Fix Monthly Payment ini meningkat setiap tahun sepanjang tempoh Konsesi Operator Rawatan Air berkuat kuasa. Kos-kos ini telah menyumbang kepada tarif air yang tinggi dan perlu disemak setiap tiga (3) tahun sekali sepanjang Perjanjian Konsesi SYABAS berkuat kuasa dan kenaikan tarif ini dapat dilihat seperti jadual di bawah:-
Pelarasan Tarif Tarikh Pelarasan Tarif Average Schedule Tariff (RM/mᵌ) Pelarasan Pertama 01 Januari 2006 1.39 Pelarasan Kedua 01 Januari 2009 1.90 Pelarasan Ketiga 01 Januari 2012 2.38 Pelarasan Keempat 01 Januari 2015 2.86 Pelarasan Kelima 01 Januari 2018 3.15 Pelarasan Keenam 01 Januari 2021 3.31 Pelarasan Ketujuh 01 Januari 2024 3.48 Pelarasan Kelapan 01 Januari 2027 3.65 Pelarasan Kesembilan 01 Januari 2030 3.83 Selain dari peningkatan tarif disebabkan oleh kos harga air terawat yang ditetapkan oleh Operator Rawatan Air melalui Kadar Air Pukal dan Fixed Monthly Payment, peningkatan kos operasi dan Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure (CAPEX)) di dalam SYABAS juga menyumbang kepada peningkatan tarif yang ditanggung oleh pengguna.
Dalam usaha untuk melindungi rakyat sebagai pengguna utama industri perkhidmatan air, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk tidak bersetuju dengan sebarang pelarasan tarif yang dipohon oleh SYABAS. Pelarasan Tarif purata air terawat pertama telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006 dan berkuat kuasa mulai 1 November 2006 di mana kadar tarif yang diguna pakai sehingga hari ini adalah berdasarkan kepada kadar yang diluluskan pada tahun 2006 tersebut.
Pelarasan tarif kedua yang sepatutnya berkuatkuasa bermula pada 01 Januari 2009 hingga 31 December 2011, namun Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor di mana kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air, maka Kerajaan Negeri tidak bersetuju untuk menguatkuasakan sebarang pelarasan tarif.
Lanjutan dari tiada sebarang kenaikan tarif seperti yang dijadualkan pada tahun 2009, SYABAS telah memulakan tindakan mahkamah bagi menuntut pampasan kerana ketiadaan kenaikan kadar tarif baru. Kes tersebut masih dalam tindakan mahkamah dan belum ada sebarang keputusan ke atas tuntutan SYABAS tersebut.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor telah meneliti setiap aspek di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, sekiranya Perjanjian Konsesi SYABAS ini diteruskan berkuatkuasa sehingga tahun 2034, maka Kerajaan Negeri tidak mempunyai kawalan secara langsung ke atas pelarasan tarif oleh SYABAS. Mengikut peruntukkan di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS, bermula pada 01 Januari 2015, pelarasan tarif dengan kadar tarif purata sebanyak RM2.86 setiap meter padu dan pada tahun 2018 dengan kadar tarif purata sebanyak RM3.15 setiap meter padu. Sekiranya perjanjian konsesi SYABAS ini diteruskan, pada tahun 2030 kadar tarif purata yang bakal dibayar oleh pengguna Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak RM3.83 setip meter padu.
Usaha dan matlamat Kerajaan Negeri Selangor untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor adalah bertujuan semata-mata untuk memastikan kepentingan rakyat terjamin. Kesemua operator rawatan air dan operator agihan yang ada pada ketika ini adalah merupakan syarikat swasta yang mana bagi syarikat swasta keuntungan merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan. Dalam kerakusan mengejar matlamat mengaut keuntungan bagi mengayakan segelintir kapitalis, kepentingan pengguna perkhidmatan air yang merupakan rakyat Negeri Selangor tidak diutamakan.
Keadaan ini berbeza sekiranya pengurusan industri perkhidmatan air berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang mana keuntungan bukanlah matlamat utama. Sebaliknya dalam merealisasikan matlamat Merakyatkan Ekonomi Selangor dan meneruskan pemberian 20 meter padu air percuma kepada pengguna, Kerajaan Negeri Selangor mengutamakan rakyat mendapat perkhidmatan air yang effisien disamping membayar harga perkhidmatan dalam bentuk tarif yang munasabah.
Oleh sebab terdapat jurang perbezaan di dalam matlamat syarikat swasta dan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memberikan perkhidmatan bekalan air yang efisien, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.
-
Bilakah akan dilaksanakan saham air percuma untuk rakyat Selangor?
Rancangan pemberian saham air kepada rakyat Selangor adalah merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor telah merancang sekiranya penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor dimuktamadkan, rakyat Negeri Selangor yang juga merupakan pengguna perkhidmatan air akan diberikan pegangan saham di dalam SPV Air yang ditubuhkan.
Pemberian saham tersebut adalah untuk memberi peluang kepada semua rakyat untuk turut mempunyai suara di dalam memberikan pandangan dan penambahbaikan dalam industri perkhidmatan air Negeri Selangor.
Langkah sedemikian rupa boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap bertanggung jawab terhadap aset dan perkhidmatan air dan sekaligus memupuk rasa tanggung jawab untuk tidak membazir kepada sumber air sedia ada serta semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka.
Namun demikian, nilai dan mekanisme pemberian saham air kepada rakyat akan diperhalusi setelah penstrukturan semula dimuktamadkan.