Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

241) MASALAH AIR

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan tindakan atau perancangan pihak Kerajaan untuk memastikan gangguan bekalan air di dalam negeri dapat dikurangkan.

    Memastikan sumber air di Selangor sentiasa berterusan dan tidak terganggu untuk digunakan oleh pengguna adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut.  Gangguan bekalan air boleh disumbangkan oleh beberapa faktor seperti berikut:-

    1. Gangguan yang disebabkan oleh ketidakcukupan air mentah;
    2. Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh penyelenggaraan

    berjadual;

    1. Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh faktor luar jangka seperti pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik kerosakan peralatan loji, atau kerosakan paip induk yang disebabkan oleh pihak ketiga.

    Kerajaan Negeri maklum bahawa masalah gangguan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan.  Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan masalah gangguan ini dapat diatasi dan seterusnya dikurangkan.

    Dalam usaha untuk memastikan air mentah sentiasa cukup untuk dirawat oleh 34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor, selain dari memberikan persetujuan kepada pelaksanaan Projek Langat 2, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan projek yang dinamakan Hybrid of River Augmentation Storage/System (HORAS) di kawasan Kuala Selangor. Melalui pembangunan dua projek ini, Kerajaan Negeri yakin masalah ketidakcukupan air mentah dapat diatasi sepenuhnya.

    Selain dari penambahan sumber air mentah, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan dasar bagi memastikan sumber air mentah dari sungai-sungai sedia ada tidak dicemari.  Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan semua agensi yang berkaitan sentiasa berganding bahu memantau supaya semua penyumbang kepada pencemaran sumber air mentah dapat dihukum melalui kuat kuasa undang-undang dan peraturan  sedia ada.

    Masalah gangguan bekalan air juga berkait rapat dengan sistem paip utama dan paip komunikasi yang ada di negeri Selangor. Kebanyakan paip utama dan paip komunikasi di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jenis Galvanise Iron (G.I) dan Asbestos Cement (AC).  Paip-paip ini kebanyakannya telah pun mencapai usia 40 tahun dan akibat faktor usia tersebut, pengaratan dalaman paip berlaku menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil yang turut menyumbangkan kepada masalah paip bocor dan paip pecah hingga menyebabkan gangguan kepada pengguna.

    Selain dari masalah usia paip, kadar permintaan yang telah meningkat akibat dari pembangunan kawasan baru dan pertambahan populasi penduduk di sesetengah kawasan.  Disebabkan permintaan air yang berbeza mengikut kawasan terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, yang mana ada kalanya kadar permintaan itu melebihi tahap pembekalan sedia ada dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kekurangan bekalan air berlaku di kawasan tersebut.

    Gangguan bekalan air yang disebabkan oleh penutupan loji atau disebabkan oleh paip pecah adalah merupakan sebahagian dari masalah operasi yang dihadapi oleh operator rawatan air dan operator pengagihan air.  Di Negeri Selangor ini, terdapat empat operator rawatan air iaitu SPLASH, ABASS, Puncak Niaga dan KASB manakala operator agihan air adalah diletakkan di bawah kendalian SYABAS.

    Keadaan industri yang dikendalikan oleh operator swasta tanpa penglibatan Kerajaan Negeri menyulitkan Kerajaan Negeri untuk membuat kawalan dari segi operasi.  Oleh yang demikian, salah satu tujuan Kerajaan Negeri memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan operasi loji rawatan air dan pengagihan air kepada pengguna dapat dikawal secara langsung oleh Kerajaan Negeri.  Dengan mempunyai kawalan secara langsung ke atas operasi tersebut, Kerajaan Negeri boleh mempunyai kawalan secara langsung di dalam operasi dan seterusnya mengurangkan lagi keadaan gangguan bekalan air kepada pengguna. Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor ini  sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan sebagaimana yang telah dicapai di di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

  2. Nyatakan perancangan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini sekiranya pencemaran sumber air ataupun keadaan tahap air mentah rendah berulang lag

    Pada ketika ini, piawaian untuk air mentah bagi loji-loji pembersihan air (LPA) iaitu Kualiti Air Mentah  adalah ditetapkan oleh Jabatan Bekalan Air,  Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  (KTTHA). Pensampelan untuk menganalisis kualiti air ini adalah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kekerapan sekali pensampelan setiap bulan.  Piawaian yang telah ditetapkan adalah seperti berikut :

    BIL PARAMETER UNIT STANDARD
    1. Total Coliform CFU / 100 ml 5000 / 100 ml
    2. Ph 5.5 – 9.0
    3. Kekeruhan (Turbidity) NTU 1000
    4. Warna (Colour) TCU 300
    5. Keperluan Oksigen Kimia (COD) mg / L 10
    6. Mangan (Mn) mg / L 0.2
    7. Keperluan               Oksigen

    Biokimia (BOD)

    mg / L 6
    8. Ammonia mg / L 1.5
    9. Ferum mg / L 1.0

    Selain itu, operator loji rawatan air juga telah meletakkan piawaian keselamatan air untuk tujuan bekalan air di mana air terawat perlulah mematuhi piawaian yang telah ditetapkan sebelum diedarkan dan disalurkan kepada pengguna. Piawaian yang telah ditetapkan adalah seperti berikut :

    BIL PARAMETER UNIT STANDARD
    1. E. Coli CFU / 100 ml Tidak hadir

    (Tiada E.Coli)

    2. Total Coliform Koloni / 100 ml Tidak Dikesan
    3. FRC / CC mg / L > 1.5 / > 1.0
    4. pH 6.5 – 9.0
    5. Warna (Colour) Hazen 15
    6. Kekeruhan (Turbidity) NTU 5
    7. Ammonia mg / L 1.5
    8. Besi (Iron) mg / L 0.3
    9. Florida mg / L 0.5 – 0.7
    10. Aluminium mg / L 0.2
    11. Mangan (Mn) mg / L 0.1
    12. Kadmium (Cadmium) mg / L 0.003
    13. Arsenik mg / L 0.01
    BIL PARAMETER UNIT STANDARD
    14. Lead mg / L 0.01
    15. Kromium(Chromium) mg / L 0.05
    16. Zink mg / L 0.03
    17. Radioaktif Bq / L 0.1

    Sumber air mentah  atau air terawat yang melebihi piawaian yang telah ditetapkan di atas adalah dikategorikan sebagai tercemar.

    Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan kualiti air mentah dan kualiti air terawat terutamanya menghentikan punca-punca pencemaran di bandaran dari terus mencemari sungai dan sumber air mentah. Kerajaan Negeri melalui LUAS menggunapakai pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (Integrated Water Resources Management, IWRM). LUAS juga telah melaksanakan dan mewartakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Sungai Selangor pada 10 September 2009.

    Salah satu mekanisme pengurusan yang digunakan ialah melalui Pasukan Petugas Mengawal Pencemaran Lembangan Sungai Selangor, Langat, Klang dan juga Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai Negeri Selangor yang akan melibatkan agensi-agensi teknikal dan pihak berkepentingan berkaitan bagi menangani isu pencemaran sumber air di lembangan sungai.

    Pihak LUAS juga menguatkuasakan larangan aktiviti di dalam zon perlindungan dengan menetapkan had dan batasan serta memerlukan Kebenaran Bertulis bagi aktiviti yang dibenarkan selaras dengan Enakmen LUAS 1999. Manual Pelan Tindakan Menangani Pencerobohan Kawasan Tadahan Air Empangan Negeri Selangor telah disediakan dan perlu dipatuhi sepenuhnya.

    Selain itu, LUAS sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air di Negeri Selangor turut memainkan peranan utama di dalam membenteras pencemaran sumber air. Di bawah Enakmen LUAS diperuntukkan Peraturan – peraturan Bahan Pencemar bagi mengawal aktiviti yang berpotensi mencemarkan sumber air.

    Langkah jangka masa pendek yang sedang diambil bagi sebagai usaha untuk memastikan bekalan air tidak tercemar adalah mewartakan sumber air  dan kawasan tadahan air empangan sebagai zon perlindungan tertakluk dalam Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

    Langkah-langkah jangka masa panjang yang sedang diambil bagi memastikan pencemaran sumber air mentah dapat diatasi adalah seperti berikut :

    1. Penyediaan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai bagi memastikan perancangan dan pembangunan secara holistik dan mampan dapat dilaksanakan selari dengan kepentingan sumber air dan alam sekitar amnya.
    2. Penyediaan ‘State of the river Report’ untuk Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang akan diterbitkan setiap dwitahunan sejak tahun 2006. Ia mengandungi maklumat dan data-data terkini mengenai lembangan sungai terutamanya dari aspek pengurusan kuantiti dan kualitinya. Ia juga melibatkan program/tindakan pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu yang dijalankan bagi pengawalan pencemaran sungai di samping memberi maklumat kepada orang awam akan status sungai di Selangor.
    3. Menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar di samping menjamin bekalan air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera. Antara aktiviti yang telah dan akan dijalankan oleh LUAS ialah seperti :
      1. Program Pembersihan Pantai dan Kempen Tanam Pokok Bakau di Pantai Tanjung Harapan,
      2. Program Qua-Qua yang melibatkan komuniti dan pelajar sekolah dalam pemantauan kualiti air sungai yang telah dilancarkan pada 29 Jun 2008, iii. Program Sambutan Hari Air Sedunia,
      3. Program Pemeliharaan Sumber Air Melalui Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak; dan
      4. Mengadakan ceramah-ceramah dan pameran-pameran dari semasa ke semasa.

    Kerajaan Negeri Selangor juga memberikan kerjasama erat dengan semua agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Alam Sekitar bagi menangani masalah pencemaran sumber air.

Lampiran

Tiada Lampiran.