Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

214) PENYUSUNAN SEMULA AIR (SY.A.B.AS)

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Selangor gagal dalam perkara ini?

    Kerajaan Negeri Selangor setakat 31 Disember 2013 tidak berupaya untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor berdasarkan konsesi willing seller willing buyer. Ketidakupayaan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memuktamadkan penstrukturan tersebut adalah berpunca dari kerakusan Syarikat Pemegang Konsesi Air menetapkan harga pengambilalihan  yang melampau.

    Dalam menentukan nilai yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi air sedia ada,  Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan kepentingan pengguna dan pada masa yang sama tidak merugikan mana-mana pihak. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor berpegang kepada prinsip Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang telah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada 30 Jun 2008 seperti berikut:-

    “Kementerian ini amat peka kepada implikasi dan kesan pengambilalihan aset dan tanggungan pada harga yang tinggi dan tidak kos efektif.  Ia akan menyebabkan kadar sewa pajak yang tinggi dan yang akhirnya akan turut dirasai oleh pengguna melalui kadar tarif air yang tinggi.  Oleh yang demikian, kementerian ini akan memastikan keadaan tersebut tidak berlaku semasa proses pengambilalihan aset dan tanggungan air terutamanya yang melibatkan syarikat konsesi air.”

    Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

    Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar kepada Pemegang Konsesi. Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan undangundang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

    Kaedah penetapan nilai bagi mengambil alih syarikat pemegang konsesi air adalah berdasarkan fair market value dengan pulangan 12% ke atas pelaburan yang telah dibuat.  Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk membayar pampasan yang terlampau tinggi dan over price kepada pemegang saham syarikat konsesi air memandangkan syarikat-syarikat ini telah beroperasi sehingga berjaya mengaut pulangan modal serta mencapai jangkaan keuntungan shareholders IRR dalam bentuk pembayaran dividen. Namun, sekiranya syarikat konsesi ini masih tidak mempertikaikan nilai pampasan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor, mereka boleh merujuk isu pampasan tersebut untuk diputuskan oleh Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa, di mana Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk mematuhi apa jua keputusan yang dibuat oleh Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa tersebut.

    Kerajaan Negeri adalah tidak berupaya untuk memberikan nilai yang melebihi apa yang telah ditawarkan.  Tambahan pula sebarang nilai yang melebihi nilai yang telah ditawarkan akan memberikan kesan yang banyak kepada Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor seperti kadar sewa pajakan dengan PAAB yang tinggi yang akhirnya akan memberi kesan kepada kos operasi yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif yang tinggi.  Keadaan ini adalah bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mencapai Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

    Sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Persekutuan sentiasa menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah menyelesaikan apa-apa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan, walaupun tanggung jawab mengenai perkhidmatan dan bekalan air telah diletakkan bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah Perlembagaan Malaysia melalui pindaan Perlembagaan di bawah  Akta Perlembagaan (Pindaan) 2005 yang memindahkan perkhidmatan dan bekalan air dari Senarai Negeri kepada Senarai Bersama di bawah Senarai Perundangan, Perlembagaan  Persekutuan.

    Namun demikian, melalui surat bertarikh 09 September 2013 dari YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 28 Ogos 2013 yang telah membuat keputusan  antaranya:-

    “urusan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air perlu diselesaikan sendiri oleh Kerajaan Negeri Selangor dan syarikat-syarikat konsesi air dalam tempoh 3 bulan. Sekiranya ia masih tidak dapat diselesaikan, Kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mempertimbangkan tindakan atas dasar kepentingan negara mengikut Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (Akta 655) bermula 01 Januari 2014.

    Berdasarkan kepada keputusan Jemaah menteri tersebut, Kerajaan Negeri Selangor akhirnya pada 31 Disember 2013, menyerahkan kepada budi bicara Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air bagi menguatkusakan peruntukan Seskyen 114 di bawah Akta 655 bagi mengambil alih syarikat konsesi air itu.

    Namun demikian, sehingga hari ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor masih meneruskan rundingan bagi menguatkuasakan Seksyen 114 tersebut.

    Sekiranya penstrukturan semula ini tidak dapat dimuktamadkan sebagaimana yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka industri perkhidmatan air sedia ada akan dibebankan dengan masalah-masalah utama yang akhirnya boleh merugikan rakyat dan menjejaskan operasi industri itu.  Antara masalah utama yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    • kekangan aliran tunai yang dihadapi oleh SYABAS hingga menyebabkan SYABAS berada dalam keadaan keberhutangan yang sangat meruncing dan boleh menyebabkan kegagalan dalam membayar harga pembelian air dengan penuh kepada Operator Rawatan Air di mana ini mengakibatkan SYABAS mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM5.0 billion yang akan terus meningkat;
    • kekangan aliran tunai SYABAS telah menyebabkan bayaran separa 42% dibayar kepada Operator Rawatan Air yang sekali gus turut menjejaskan aliran tunai Operator Rawatan Air yang mana jika tidak diatasi boleh menjejaskan operasi;
    • SYABAS tidak berjaya di dalam memenuhi obligasi di bawah Perjanjian Konsesi dalam mencapai sasaran pengurangan Non Revenue Water (NRW) sebanyak

    20% seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi walaupun SYABAS telah diberikan bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah.

    • Keadaan industri yang tidak holistik akan terus menyumbangkan kepada pengurusan air yang tidak cekap dan kos operasi yang sangat tinggi seperti kadar Bulk Supply Rate (BSR), Fixed Monthly Payment (FMP), kos yang mana semua kos ini akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi lagi membebankan.
    1. Sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Persekutuan sentiasa menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah menyelesaikan apa-apa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan, walaupun tanggung jawab mengenai perkhidmatan dan bekalan air telah diletakkan bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah Perlembagaan Malaysia melalui pindaan Perlembagaan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2005 yang memindahkan perkhidmatan dan bekalan air dari Senarai Negeri kepada Senarai Bersama di bawah Senarai Perundangan, Perlembagaan

    Ditambah pula, Kerajaan Persekutuan hendaklah mempunyai kuasa eksekutif dalam sektor air sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta WSIA yakni “Kerajaan Persekutuan hendaklah mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara yang berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan”

    Dari peruntukan perundangan sedia ada, jelas penstrukturan semula ini boleh dimuktamadkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.  Lanjutan dari itu, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman pada 26 Februari 2014 sebagai langkah pertama untuk bersesama dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor berdasarkan kepada lunas-lunas perundangan sedia ada dan mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak merugikan mana-mana pihak yang terlibat dalam industri ini. Apatah lagi, salah satu rasionalnya peruntukan Akta 655 dan yang merupakan kepentingan negara adalah keperluan untuk menstrukturkan semula sektor perkhidmatan air di setiap negeri menerusi pengusaha air yang holistik oleh kerajaan negeri.

  2. Kenapakah Kerajaan Negeri Selangor mengambil masa yang begitu lama untuk mengatasi permasalahan ini?

    Sama seperti di SUB (a)

  3. Bagaimanakah kedudukan perkara ini sekarang?

    Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman pada 26 Februari 2014 sebagai langkah pertama untuk bersesama dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor berdasarkan kepada lunas-lunas perundangan sedia ada dan mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak merugikan mana-mana pihak yang terlibat dalam industri ini. Apatah lagi, salah satu rasionalnya peruntukan Akta 655 dan yang merupakan kepentingan negara adalah keperluan untuk menstrukturkan semula sektor perkhidmatan air di setiap negeri menerusi pengusaha air yang holistik oleh kerajaan negeri.

    Pada ketika ini, rundingan bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sedang giat diadakan dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula itu berdasarkan kepada persetujuan yang telah dicapai melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani tersebut.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah bersedia dengan pasukan untuk mengambil alih operasi kesemua Syarikat Konsesi Air sebaik sahaja Kerajaan Persekutuan memberikan persetujuan ke atas penguatkuasaan Seksyen 114, Akta 655 tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.