Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

183) LEMBAGA URUS AIR NEGERI SELANGOR (LUAS)

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah peranan utama LUAS?

    Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah sebuah agensi Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sumber air termasuk air bumi dan permukaan serta perairan pantai Negeri Selangor. 17 fungsi utama LUAS seperti yang digariskan di dalam subseksyen 6(1), Enakmen LUAS 1999 dapat dirumuskan seperti berikut;

    • Menyelaras perhubungan pelbagai agensi dalam negeri dan menggalakkan kerjasama serta penyelarasan untuk kegunaan sumbersumber air pelbagai fungsi,
    • Menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, pelan dan projek oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang diarah oleh Pihak Berkuasa Negeri,
    • Menjaga kepentingan negeri di dalam hal pembangunan, pengurusan, penggunaan dan pemuliharaan sumber-sumber air,
    • Memberikan lesen atas syarat-syarat yang dianggap wajar oleh Lembaga kepada mana-mana pihak berkuasa awam atau orang bagi mengusahakan sebarang kegiatan yang berhubungan dengan sumbersumber air dan untuk mengawalselia pemegang-pemegang lesen serta aktiviti-aktiviti mereka, dan
    • Menyiasat sebarang kejadian, kesalahan atau kemalangan yang berlaku di atas atau berhubungan dengan suatu sumber air.
  2. Sila nyatakan apakah LUAS mempunyai kuasa mutlak dalam operasi merobohkan pelantar ikan tanpa terlebih dahulu rujuk kepada Kerajaan Negeri?

    Pembinaan jeti adalah termasuk di dalam aktiviti pengubahan sumber yang dikawalselia oleh LUAS di bawah seksyen 43(1) Enakmen LUAS 1999. Di bawah seksyen 43 (1), apa-apa aktiviti pengubahan sumber di dalam 50 meter rizab sungai hendaklah mendapatkan Kebenaran Bertulis daripada Pengarah. Salah satu aktiviti pengubahan sumber adalah pembinaan jeti.

    Seseorang yang menjalankan aktiviti pengubahan sumber tanpa kebenaran Pengarah LUAS adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 43 (4) Enakmen LUAS 1999 dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun.

    Di bawah seksyen 43 (4) juga selanjutnya menyatakan mana-mana bangunan atau pembinaan yang dibina atau didirikan melanggar kehendak seksyen 43(1) boleh dialihkan atau disebabkan dialihkan mengikut perintah Pengarah dan kos pengalihan hendaklah ditanggung oleh orang itu.

    Pengarah LUAS mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah melalui pemberitahuan bertulis (Surat Arahan) kepada mana-mana orang atau pihak berkuasa awam yang mengendalikan aktiviti pengubahan sumber itu di bawah seksyen 50 (2) Enakmen LUAS 1999.

    Seksyen 50 (2) (a) dan (b) Enakmen LUAS 1999 memberi kuasa kepada

    Pengarah untuk memerintahkan untuk :-

    1. mengalihkan semua atau mana-mana bahagian kerja-kerja atau

    aktiviti itu ditetapkan;

    1. memberhentikan atau menjadikan aktiviti itu tidak berkesan.

    Jika perintah yang dikeluarkan di atas tidak patuhi, LUAS atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh LUAS boleh memasuki tapak kerja itu, menjalankan kerja-kerja seperti yang telah diperintahkan di dalam Surat Arahan dan mengambil apa-apa tindakan lain yang berhubungan dengan perintah itu bagi tujuan untuk memberi kesan kepada perintah itu.

    Apa-apa kos yang ditanggung oleh LUAS berhubung tindakan yang diambil di atas boleh dituntut sebagai hutang yang perlu dibayar kepada LUAS oleh orang yang telah diserahkan perintah itu.

    Sekiranya kerja-kerja perobohan perlu dilakukan terhadap sesuatu bangunan atau pembinaan di dalam rizab sungai, LUAS akan merujuk kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri.

    Seperti tindakan penguatkuasaan ke atas jeti dan bangunan di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju dan meluluskan tindakan penguatkuasaan untuk merobohkan jeti dan bangunan tersebut melalui Keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 1/2013. Begitu juga dengan tindakan perobohan jeti-jeti kecil di Kuala Sepang Kecil, di Kampung Bagan Lalang Sungai Pelek, Sepang yang telah dipersetujui oleh MMKN Bil 31/2013.

    Bagi struktur jeti di Bagan Sekinchan, tindakan yang diambil oleh LUAS hanyalah tindakan penguatkuasaan seperti berikut:i. memotong bekalan elektrik dan air,

    • menyita barang-barang iaitu 1 pam air, 1 gulung hos angin, 3 alat pemadam api, 2 buah DB Box (papan fius agihan),
    • memutuskan laluan masuk ke premis,
    • memasang pita cordon untuk menghalang kemasukan ke premis, dan
    • memasang papan tanda pemberitahuan pembinaan tanpa kebenaran di premis.

    Tiada sebarang tindakan perobohan dilakukan terhadap struktur jeti tersebut.

  3. Kenapa LUAS begitu ghairah dalam konteks penguatkuasaan terhadap Pelantar ikan Bagan Sekinchan tanpa mempedulikan sensitiviti masyarakat setempat?

    Struktur pelantar ikan di Bagan Sekinchan yang dimaksudkan adalah merupakan struktur binaan yang baru yang dibina di mana struktur yang baru ini lebih besar dan lebih panjang daripada struktur pelantar ikan yang asal.

    Struktur pelantar yang dibina ini tidak mendapat sebarang kelulusan daripada agensi yang berkaitan seperti ;

    • Kebenaran Pengarah LUAS selaras dengan Seksyen 43, Enakmen LUAS 1999,
    • Kelulusan Lesen Menduduki Sementara oleh pihak Pentadbir Tanah Sabak Bernam; dan iii. Kebenaran Merancang daripada pihak Majlis Daerah Sabak Bernam.

    Beberapa siri tindakan perundangan seperti Notis Pemberitahuan Kesalahan, Notis Arahan, Notis Arahan Memberhentikan Kerja dan Mengosongkan Tapak kepada pengusaha telah dikeluarkan oleh LUAS dan Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam. Walau bagaimanapun, pengusaha masih meneruskan kerja-kerja di tapak dan sehingga kini struktur pelantar tersebut telah siap berbumbung dan dilengkapi dengan kren bagi aktiviti pendaratan dan pemunggahan ikan.

    LUAS sebagai urusetia Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Bil 16/2008, telah mengadakan satu menyesuarat penyelarasan berkenaan struktur pelantar tersebut pada 26 Disember 2013. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS tersebut mengesyorkan;

    • Operasi bersepadu dijalankan untuk menberhentikan kerja tanpa kelulusan.
    • Kertas ringkasan berkenaan jeti dibawa kepada pihak Kerajaan Negeri untuk keputusan.

    Selain daripada struktur pelantar di Bagan Sekinchan, LUAS juga telah menjalankan mekanisma yang sama terhadap tiga (3) struktur jeti iaitu dua (2) buah jeti di Bagan Nakhoda Omar dan sebuah jeti di Sepang Kecil. Kerajaan Negeri telah memutuskan tindakan seperti tindakan perobohan atau pewartaan ke atas struktur jeti tersebut.

    Pembinaan struktur di sepanjang perairan sungai dan pantai di Negeri Selangor perlu dikawal dan dipantau bagi memastikan persekitaran sumber air tidak mengalami kesan yang buruk akibat daripada aktiviti pembinaan jeti ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.