Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
153) ZONING PEMBANGUNAN LUAR BANDAR
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Luar Bandar
Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berkenaan zoning pembangunan luar Bandar, sekiranya pihak pemaju ingin membangunkan kawasan di luar zoning yang sedia ada, apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membantu mereka?
Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, setiap cadangan pembangunan perlulah mengikut Rancangan Tempatan yang telah diwartakan selaras dengan seksyen 18, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172 iaitu “Tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan digunakan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut Rancangan Tempatan”.
Semua Rancangan Tempatan telah menyediakan mekanisma pengawalan perancangan dalam bentuk Pelan Perkawasan (zoning) dan juga kelas kegunaan tanah untuk memastikan pembangunan sedia ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar adalah teratur dan bersistematik. Cadangan zoning dalam Rancangan Tempatan (RT) yang telah disediakan adalah berdasarkan tahun unjuran yang ditetapkan dengan mengambilkira keperluan pengangkutan, kemudahan awam, perumahan, pertanian, perindustrian dan perniagaan. Apabila diwartakan, semua pembangunan yang akan dijalankan perlu mengikut zoning tersebut.
Sekiranya terdapat pihak pemaju ingin membangunkan kawasan pemajuan yang bercanggah dengan zoning yang ditetapkan, pihak pemaju perlulah mengemukakan cadangan pengubahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan justifikasi yang kukuh bagaimana cadangan pembangunan tersebut akan memberi impak positif kepada Negara dan Negeri Selangor. PBT setelah berpuashati dengan kesankesan positif yang mungkin terhasil dari pembangunan tersebut boleh mengemukakan cadangan meminda RT berkenaan untuk pertimbangan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri. Sekiranya dipersetujui, PBT berkenaan akan melaksanakan pindaan tersebut dengan mengambilkira peruntukan dalam Seksyen 12, 13, 14 dan 15, Akta 172. Pindaan ini sekiranya telah melalui proses tersebut dan diluluskan serta dipersetujui oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN), akan digunakan oleh PBT untuk menimbangkan permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi kawasan berkenaan selepas RT tersebut diwartakan. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat juga perlu mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172 untuk proses-proses pengubahan.