Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

116) DASAR-DASAR KERAJAAN

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar-dasar baru yang dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan Selangor selepas 2008?

    Sejajar dengan falsafah dan tradisi Kerajaan negeri bahawa ekonomi adalah milik rakyat, maka dasar-dasar baru telah dibentuk dan dilaksanakan di mana ianya bukan sahaja dapat menggembleng sumber-sumber yang ada tetapi juga boleh mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dan meningkatkan ekonomi rakyat. Dasar yang dibentuk bersifat menyeluruh dan menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat khususnya dalam bidang ekonomi, politik, sosial, agama, pendidikan dan sebagainya. Di negeri Selangor, dasar-dasar yang dibentuk adalah berlandaskan kepada perkara-perkara seperti berikut :

    1. i) Ekonomi rakyat
      1. Melindungi hak rakyat Selangor untuk mendapatkan air bersih pada harga yang berpatutan menerusi penstrukturan semula industri air
      2. Dasar perumahan – Tempat Kediaman untuk Semua dengan pembinaan rumah mampu milik yang bermutu serta menguruskan projek-projek perumahan lain yang mengutamakan tahap kemampuan rakyat untuk membeli
      3. Dasar Keusahawanan dan Inovasi bagi memberikan peluang kepada rakyat menambahbaik taraf kehidupan melalui penubuhan dana khas serta penyediaan kemudahan latihan dan pendidikan keusahawanan yang kondusif
      4. Penyediaan kemudahan pengangkutan awam percuma serta mesra pengguna dan pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu
    2. Kesejahteraan rakyat

    Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor yang melaksanakan programprogram kepada golongan rakyat Selangor yang memerlukan bantuan meliputi bayi dan warga emas, anak pekerja ladang, golongan kelainan upaya dan mangsa dera rumah tangga

    • Persaudaraan rakyat menerusi aktiviti keagamaan dan kebudayaan

    Penyediaan peruntukan dana negeri bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kebudayaan semua kaum, khususnya program-program silaturahim dalam keluarga dan komuniti. Pelaksanaan ini telah memberikan kesan positif dalam hal meningkatkan kesedaran beragama kepada individu dalam setiap kaum di samping meningkatkan kefahaman mereka terhadap agama-agama kaum lain. Oleh yang demikian, Kerajaan negeri akan terus memberi bantuan dana bagi menjayakan programprogram dalam bidang agama, pendidikan, pembangunan keluarga dan pembangunan kebudayaan

    1. Kerajaan rakyat

    Pelaksanaan dasar ketelusan Kerajaan negeri melalui pengisytiharan harta oleh Menteri Besar dan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pembentukan Jawatankuasa Khas bagi Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) serta kelulusan pindaan Kebebasan Maklumat yang membolehkan orang ramai mencapai maklumat berkaitan Kerajaan negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.