Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
76) PROGRAM LATIHAN DAN PEMBERDAYAAN OKU
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar dan inisiatif Kerajaan untuk membantu dan memberdaya produktiviti golongan kurang upaya (OKU) melalui program-program pembangunan insan dan latihan melalui dana sebanyak RM 7.8 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2014 ?
Kerajaan Negeri melalui Pentadbiran Pakatan Rakyat kini tidak lagi meminggirkan golongan OKU dan sentiasa mengambil inisiatif untuk memberdayakan produktiviti golongan ini agar mereka dapat berdikari dan menjana pendapatan sendiri disamping dapat mengurangkan sikap kebergantungan kepada orang lain.
Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Belanjawan 2014, sebanyak RM7.8juta akan diperuntukkan kepada pembangunan insan, hal ehwal kepenggunaan dan program kebajikan khusus kepada golongan kurang bernasib baik dan terpinggir. Ia juga menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan dan kebajikan OKU, Orang Asal, penjawat awam berpendapatan rendah dan golongan minoriti lain dalam masyarakat.
Kerajaan Negeri telah menetapkan dasar OKU dalam memastikan mereka mendapat menerima manfaat yang sama rata di dalam kehidupan bermasyarakat. Dasar-dasar berkenaan adalah seperti berikut:-
- Welfare :
Dasar ini adalah merupakan bentuk pemberian bantuan sahaja kepada golongan OKU yang layak dan tidak berupaya untuk bekerja disamping ianya dapat membantu mereka menyara kehidupan walaupun dengan hanya bergantung kepada bantuan-bantuan yang disediakan oleh agensi tertentu.
- Welfare To Workfare :
Dasar ini akan membenarkan untuk mempertimbangkan bantuan dalam bentuk kewangan atau kemahiran dan akan diberikan kepada golongan OKU yang berpotensi untuk memajukan diri sama ada dalam bidang perniagaan atau sebagainya bagi menyara kehidupan mereka. Bimbingan dan latihan juga akan diberikan mengikut kesesuaian bidang yang diceburi dan akan memastikan mereka berkemampuan untuk memajukan diri mereka sendiri.
- Accessibility For All :-
Dasar ini adalah untuk memastikan golongan OKU mempunyai hak untuk berdikari dalam menjalani kehidupan harian. Kemudahan asas yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dipastikan dan disyaratkan supaya kemudahan-kemudahan itu dapat diakses dan digunakan oleh semua kategori golongan OKU dalam menjalankan urusan harian.
- Job Placement :-
Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan dan memberi peluang untuk menempatkan golongan OKU lepasan sekolah menengah yang layak di sektor perkerjaan yang bersesuaian. Mereka akan diberi bimbingan dan latihan oleh agensi-agensi terpilih selama 5 hingga 6 bulan. Ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mempunyai pendapatan sendiri dengan berdikari untuk tempoh jangka panjang.