Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
44) PROJEK LANGAT 2
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri bersetuju dengan projek ini?
Perbincangan dan kajian mengenai pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) telah bermula seawal tahun 1982 lagi. Projek PPAMPS adalah projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pinjaman dari Jepun melalui JBIC di mana perjanjian pinjaman telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan JBIC pada 31 Mac 2005. Jumlah Pinjaman adalah sebanyak ¥82,040 juta (RM2,774.4 juta). Perjanjian Pinjaman dengan JBIC telah pun ditandatangani dan sebahagian dari jumlah pinjaman telah disalurkan kepada Kerajaan Malaysia bagi tujuan pembayaran kepada kerja-kerja yang telah dimulakan di bawah pelaksanaan projek ini. Mengikut perjanjian pinjaman, sama ada projek disiapkan atau sebaliknya, bayaran ansuran perlu dibuat oleh Kerajaan Malaysia kepada JBIC bermula pada tahun 2016. Perjanjian jual beli air mentah dari Negeri Pahang ke Negeri Selangor telah dimuktamadkan sebelum tahun 2008 lagi. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan keseluruhan Projek PPAMPS setakat 28 Februari 2014 telah mencapai 8%.
Projek Langat 2 pula merupakan sebahagian dari komponen di dalam PPAMPS tersebut. Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menghalang pelaksanaan projek penyaluran air dari Pahang ke Selangor. Pada ketika ini Kerajaan Negeri Selangor hanya menangguhkan untuk sementara semua kelulusan yang berkaitan dengan penggunaan tanah bagi projek tersebut sehingga penstrukturan semula dimuktamadkan. Pendirian Kerajaan Negeri Selangor mengenai pelaksanaan Projek Langat 2 masih kekal seperti dahulu di mana Projek LRA 2 ini hanya boleh dilaksanakan bersekali dengan memuktamadkan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor berdasarkan kepada Model Holistik.
-
Apakah syarat-syarat yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri terhadap projek tersebut?
Perbincangan dan kajian mengenai pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) telah bermula seawal tahun 1982 lagi. Projek Langat 2 pula merupakan sebahagian dari komponen di dalam PPAMPS tersebut. Mengikut perancangan asal, Projek Langat 2 ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan kerja-kerja perancangan awal sejak tahun 2001 bagi mereka bentuk dan membina Loji Rawatan Air yang terletak di Batu 11, Jalan Ulu Langat, Selangor. Namun demikian, lanjutan dari pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 dan penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Projek Langat 2 ini telah diputuskan untuk dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Dalam melaksanakan Projek Langat 2 tersebut, banyak tanah kerajaan seperti tanah simpanan hutan terlibat. Tanah-tanah kerajaan seperti rizab hutan, apabila digunakan di dalam projek tersebut tidak akan melibatkan pampasan dari Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor perlu membuat penelitian sewajarnya supaya Negeri Selangor tidak kehilangan tanah-tanah kerajaan itu tanpa sebarang balasan dari Kerajaan Persekutuan sebaliknya penggunaan tanah-tanah kerajaan tersebut di nilai secara win-win basis oleh Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kepentingan rakyat Negeri Selangor di masa akan datang.
Di dalam Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan pada 26 Februari 2014, salah satu terma utama adalah berkenaan pelaksanaan Projek Langat 2. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju supaya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor dilantik sebagai operator bagi mengendalikan Loji Langat 2.
Sebagai sebuah Kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan sentiasa ingin memastikan rakyat Negeri Selangor sebagai pengguna air tidak dibebankan dengan kos-kos tidak munasabah yang akhirnya ditanggung dalam bentuk tarif air yang tinggi. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor telah mencadangkan supaya di dalam melaksanakan Projek Langat 2 ini, bermula dari pembinaannya, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB hendaklah melibatkan Kerajaan Negeri Selangor secara langsung di dalam suatu Jawatan Kuasa Khas yang akan dibentuk.
Jawatan Kuasa Khas ini akan melihat dan memantau pelaksanaan Projek Langat 2 dari segi teknikal dan kos yang terlibat bagi memastikan kos yang akan dibayar itu adalah value for money. Ini adalah bagi mengelakkan sebarang pembaziran dari penggunaan duit pembayar cukai.
-
Berapakah anggaran kos pembiayaan seluruh projek tersebut?
Projek Langat 2 akan dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Pada ketika ini, semua tender-tender berkaitan dengan pelantikan kontraktor bagi melaksanakan Projek Langat 2 adalah di bawah pentadbiran PAAB. Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat secara langsung di dalam penyediaan dokumen tender Kos sebenar pelaksanaan Projek Langat 2 ini hanya boleh diketahui selepas tender pelantikan kontraktor dimuktamadkan.