Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

33) PERUMAHAN MAMPU MILIK

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk membangun perumahan rakyat dan berapakah jumlah rumah kos rendah dan kos sederhana yang telah dibina oleh LPHS semenjak 2008-2013 ?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui LPHS telah memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik (Rumah Selangorku) bermula pada 1 Januari 2014 bagi menggantikan Dasar Perumahan sebelum ini yang dikenali sebagai Dasar 20:20:10 atau 20:10:10 yang mana ia telah digunapakai sejak sebelum tahun 2000 lagi. Pengenalan Dasar Rumah Selangorku ini adalah bermatlamat supaya dasar perumahan mampu milik yang dirangka ini lebih relevan untuk dipratikkan selaras dengan trend pembangunan kawasan kediaman dan keadaan ekonomi semasa, kepelbagaian dari segi jenis, saiz dan reka bentuk, mengambil kira pendapatan di bawah RM3,000.00 sehinggalah pendapatan RM8,000.00 sebulan serta penyediaan rumah di antara RM42,000.00 sehingga RM250,000.00.

    Sehingga tahun 2013, LPHS masih belum membina rumah kos rendah dan rumah kos sederhana kerana peranan LPHS pada ketika itu adalah lebih kepada memantau pemaju- pemaju supaya membina rumah- rumah tersebut. Namun begitu, bermula tahun 2014, LPHS mula bergiat dalam bidang pembinaan rumah- rumah mampu milik (Rumah Selangorku) dan projek pertama yang dicadang untuk dibina adalah di Taman Ukay Indah, Sungai Sering, Mukim Hulu Kelang Daerah Gombak.

  2. Berapakah jumlah rumah mampu milik yang akan dibina melalui Program Perintis Rumah Selangorku bagi tahun 2014 ?

    Program Perintis Rumah Selangorku bagi tahun 2014 yang akan dibina oleh LPHS adalah di Taman Ukay Indah, Sungai Sering, Mukim Hulu Kelang Daerah Gombak. Majlis pelancaran dan pecah tanah projek tersebut telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar pada 22 Februari 2014 yang lalu.

    Projek ini dijangka akan dimulakan dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan pembangunan serta perlantikan kontraktor selesai. Projek ini mengandungi 2,496 unit dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.