Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
335) PEMBANGUNAN LUAR BANDAR
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Pembangunan Luar Bandar
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah peruntukan kerajaan negeri untuk pembangunan luar bandar pada tahun 2015?
Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap pembangunan luar bandar di Selangor. Atas keprihatinan ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.5juta bagi tujuan pelaksanaan program untuk meningkatkan ekonomi dan memperkasakan kampung tradisi. Pecahan peruntukan untuk pembangunan luar bandar dari aspek pelaksanaan program pada tahun 2015 adalah seperti berikut:
BIL. PERUNTUKAN VOT JUMLAH PERUNTUKAN 1. Pembangunan Ekonomi Kg. Tradisi P01-02003 RM2,000,000.00 2. Aktiviti Pembangunan Kampung P01-02005 RM500,000.00 JUMLAH KESELURUHAN
RM2,500,000.00
-
Nyatakan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan kawasan luar bandar pada tahun 2015?
Program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan kawasan luar bandar pada tahun 2015 iaitu Program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) dengan objektif utama iaitu melahirkan penduduk desa yang memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung dari sudut fizikal, spiritual dan ekonomi serta dapat mengenengahkan adat Melayu dan warisan kampung. Program ini telah dilaksanakan di enam (6) buah daerah iaitu Sabak Bernam (Mac), Kuala Selangor (Mac), Klang (April), Kuala Langat (Mei), Petaling (September) dan Sepang (Oktober). Manakala sebanyak tiga (3) buah daerah lagi iaitu
Gombak, Hulu Langat dan Hulu Selangor masing-masing akan diadakan pada bulan Oktober, November dan Disember. Program ini menggunakan peruntukan sebanyak RM347,800.00.
Selain itu, tumpuan utama Kerajaan Negeri adalah dengan melaksanakan Pertandingan Anugerah Kg. Tradisi Terbaik dan Pertandingan Anugerah Usahawan Desa Terbaik yang berhasrat untuk memberi pengiktirafan dan galakan kepada kepimpinan kampung atas kejayaan yang dicapai dan melonjakkan kecemerlangan pada masa hadapan dan memberi peluang kepada masyarakat di desa yang telah menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua Kg. Tradisi iaitu seramai 368 buah kampung dan telah selesai dilaksanakan pada bulan September – Oktober. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM328,900.00.
Manakala melalui Kursus Pemantapan Ketua Kampung dan JKKK, Kerajaan Negeri telah mendedahkan kepada Ketua Kampung dan JKKK berkaitan cara-cara mengurus pasukan, menyelesaikan konflik dan peranan seorang pemimpin masyarakat bagi membawa misi dan visi kerajaan bagi membangkit rasa percaya dan hormat di kalangan ahli pasukan. Kursus ini telah dilaksanakan sebanyak 4 siri dan telah selesai dilaksanakan pada bulan April dan Mei. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM112,540.00.
Selain itu, melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek, penglibatan daripada peserta adalah seramai 215 orang. Program ini yang bertujuan memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Program ini telah dilaksanakan secara berasingan di INPENS International College dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan ogos dan September. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM210,124.00.
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Program 1 Daerah 1 Inkubator yang telah melibatkan sebanyak 4 buah inkubator di 4 daerah yang berasingan. Manakala pada tahun 2016, baki sebanyak 5 buah inkubator akan dilaksanakan di daerah yang lain. Program ini dicadangkan untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan kampung tradisi. Program ini juga akan meningkatkan taraf sosial rakyat Negeri Selangor ke arah kesejahteraan negeri. Program ini akan dilaksanakan pada bulan November. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM600,000.00.
Manakala bagi Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Industri Komuniti Kampung akan dilaksanakan pada bulan November. Program ini merupakan lanjutan Kursus Kemahiran Jangka Pendek yang bertujuan memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM793,300.00.