Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
263) BANTUAN
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandang senario kegawatan ekonomi dan bebanan tambahan ekoran cukai GST, adakah kerajaan negeri akan menambah bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah?
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Negara kita kini sedang berhadapan dengan kelembapan ekonomi susulan daripada ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kejatuhan harga minyak, naik turun nilai mata wang serta risiko geopolitik. Ini secara tidak langsung telah memberi kesan/ impak terhadap pembangunan ekonomi Negeri Selangor dan rakyat Negeri Selangor secara khususnya. Selain itu, pelaksanaan GST juga didapati memberi kesan/ impak terhadap kehidupan seharian rakyat Malaysia secara amnya dan golongan berpendapatan rendah khususnya memandangkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barang secara mendadak. Ini akhirnya akan mengurangkan kuasa membeli rakyat disebabkan oleh beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Justeru itu, Kerajaan Negeri perlu lebih berani dan sentiasa mengorak langkah dengan lebih proaktif dalam mengharungi tahap ekonomi yang mencabar serta memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.
Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira gender, etnik dan latar belakang.
-
Apakah skim bantuan khusus bagi yang perlu rawatan berterusan seperti kanser, thalasemia major, kes orthopaedik?
Kerajaan Negeri tidak mempunyai skim bantuan khusus bagi rawatan spesifik seperti kanser, talasemia major dan kes ortopedik. Namun begitu, dalam usaha membantu meringankan beban rakyat, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan telah memperkenalkan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor yang lebih bersifat menyeluruh serta bantuan adalah merangkumi semua jenis Ianya bertujuan untuk membantu ramai pesakit dalam
mendapatkan bantuan dan rawatan perubatan. Antara bantuan yang disediakan di bawah program ini adalah seperti Dialisis, Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain-lain Rawatan dan Kaki Palsu. Berdasarkan rekod, didapati sebanyak 94% daripada penerima bantuan program ini adalah terdiri daripada warga emas. Jumlah kelulusan bantuan adalah tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan serta peruntukan tahunan semasa.