Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
198) STATUS PROJEK STADIUM MINI PAYA JARAS DAN KOMPLEKS PASAR MODEN PAYA JARAS
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini projek tersebut?
Status terkini projek tersebut adalah seperti berikut:
i) Cadangan Projek Stadium Mini Paya Jaras
Rekabentuk Cadangan Pembinaan Kompleks Sukan Paya Jaras di sebahagian Lot 3279, Jalan Delima 4, Seksyen U18 untuk Majlis Bandaraya Shah Alam telah dibentangkan oleh perunding iaitu Tetuan Mohd Nor Arkitek (MNA) kepada Jawatankuasa Pemandu Projek Khas Majlis Bandaraya Shah Alam pada 30hb September 2015 (Rabu). Beberapa penambahan komponen kepada ruang yang telah direkabentuk perlu ditambahbaik oleh perunding dan dibentangkan semula di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas tersebut. Projek yang bernilai RM6.9 juta tersebut akan merubah landskap kawasan sekitar dengan pembinaan grandstand yang boleh memuatkan sehingga 400 org penonton, tempat letak kereta yang lebih tersusun, lampu limpah yang bakal menerangi padang pada waktu malam dan kualiti padang serta rumput yang boleh dibanggakan.
ii) Cadangan Membina Kompleks Pasar Moden 6 Tingkat Dengan Kemudahan Kedai Di Tingkat 1-3, Tempat Letak Kereta Di Tingkat 4-5 Dan Padang Bola (Futsal) Di Aras Bumbung Di Atas Sebahagian Lot 1057, Paya Jaras, Sek. U19, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Rekabentuk Cadangan Pembinaan Kompleks Pasar Moden 6 tingkat di atas sebahagian Lot 1057, Paya Jaras ini telah dibentangkan di dalam Mesy Jawatankuasa Lembaga Perolehan Negeri Bil 11/2015. Secara dasarnya Mesyuarat bersetuju dengan cadangan tetapi rekabentuk pasar ini perlu diubah menjadi bangunan ‘low rise’. Tujuan projek ini adalah untuk menaiktaraf serta membantu para peniaga yang berniaga di kawasan ini. Konsep asal yang dicadangkan adalah dengan mengambil konsep pasar
moden yang dicadangkan di Taman Seri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. Projek ini dijangkakan akan menelan belanja RM40 juta.
Perunding bagi projek ini masih belum dilantik memandangkan tapak bagi projek ini masih belum diwartakan sepenuh bagi penggunaannya. Satu perbincangan akan diaturkan bagi membincangkan isu dan masalah yang dikenal pasti antaranya :
Pewartaan tapak cadangan yang masih belum selesai,
Cadangan pengambilan sebahagian tapak kawasan lapang bersebelahan tapak cadangan berikutan keluasan tapak cadangan asal berkurangan setelah mengambil kira keperluan bagi penyerahan kembali tanah untuk penaiktarafan saliran, pembesaran jalan dan lain-lain perkhidmatan,
Mendapatkan tapak pemindahan sementara bagi pegerai-pegerai sedia ada dan peniaga tapak pasar
-
Bilakah dijangka projek ini akan dimulakan pembinaannya?
Projek ini dijangka bermula pembinaanya seperti perincian berikut :
i) Cadangan Projek Stadium Mini Paya Jaras
Cadangan Projek Stadium Mini Sukan Paya Jaras ini seperti projek-projek pembinaan yang direkabentuk dan diseliakan oleh sepasukan perunding yang terdiri daripada Arkitek, Juru Rancang Bandar, dan Jurutera, perlu menyediakan pelan-pelan pembinaan ( construction drawing ) dan pelan-pelan yang perlukan dikemukakan untuk kelulusan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).
Pihak Majlis menjangkakan projek yang akan mengambil masa 8 bulan untuk dilaksanakan ini akan dimulakan pada bulan Januari 2016 dan siap pada bulan Ogos 2016.
ii) Cadangan Projek Kompleks Pasar Moden Paya Jaras
Cadangan Projek Kompleks Pasar Moden Paya Jaras ini akan melalui proses yang sama seperti projek-projek Majlis yang lain iaitu lantikan Perunding yang terdiri dari Arkitek, Juru Rancang Bandar, Jurutera serta Perunding-Perunding lain yang berkaitan untuk menjayakan projek ini. Tempoh diantara lantikan Perunding, iklan tawaran kerja, penyiapan dokumen tender bagi lantikan kontraktor dan lain-lain dianggarkan dalam masa 6 bulan. Manakala bagi kerja-kerja pembinaan bangunan sehinggalah proses penyiapan dalaman bangunan termasuk bekalan air dan elektrik akan mengambil masa 24 – 30 bulan. Dijangkakan projek akan siap sepenuhnya dan boleh diduduki pada penghujung 2017 atau pertengahan 2018.