Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

281) ISU PERSETUJUAN 100% DARIPADA PEMILIK TANAH/PEMBELI PROJEK TERBENGKALAI

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan pengambilalihan dan pemulihan projek terbengkalai yang mana 100% pemilik tanah/pembeli telah memberi persetujuan kepada pemaju penyelamat terlebih dahulu sebelum pelantikan pemaju tersebut diluluskan oleh Kerajaan Negeri

    Untuk makluman Y.Berhormat, pengambilalihan dan pemulihan projek terbengkalai yang melibatkan persetujuan 100% pemilik tanah/pembeli tanpa kelulusan Kerajaan Negeri tiada berada dalam rekod pentadbiran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Walau bagaimanapun, penjelasan berhubung pelantikan pemaju penyelamat dibuat melibatkan dua (2) bidang kuasa sama ada daripada Kerajaan Negeri atau pemilik tanah/pembeli adalah seperti berikut :

    • BIDANG KUASA KERAJAAN NEGERI

    Dalam kes projek-projek pembesaran Kampung, Kerajaan Negeri mempunyai ‘locus standi’ untuk melantik mana-mana pemaju penyelamat untuk tujuan pemulihan projek terbengkalai namun tertakluk kepada persetujuan 100% daripada pembeli khususnya mereka yang mempunyai hakmilik individu. Ini kerana, Kerajaan Negeri tidak mempunyai hak atau kuasa ke atas tanah yang telah dikeluarkan hakmilik individu kepada pembeli untuk bersetuju dengan cadangan pelantikan pemaju penyelamat berkenaan. Sekiranya salah seorang pembeli yang mempunyai hakmilik tidak bersetuju untuk meneruskan pemulihan maka usaha pemulihan tidak dapat dilaksanakan sehingga 100% pembeli bersetuju.

    • BIDANG KUASA PEMILIK TANAH

    Sekiranya terdapat persetujuan 100% daripada pembeli yang merupakan pemilik tanah yang berdaftar maka pemilik tanah mempunyai ‘locus standi’ untuk melantik mana-mana pemaju penyelamat mereka sendiri tanpa perlu persetujuan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, pemaju penyelamat hanya boleh melaksanakan pemulihan ke atas tanah-tanah hakmilik pembeli sahaja manakala tanah-tanah kerajaan tidak boleh dimajukan dan memerlukan persetujuan daripada Kerajaan Negeri.

    Sehubungan dengan itu, sekiranya terdapat pemaju penyelamat yang berminat untuk memulihkan projek-projek terbengkalai pembesaran Kampung perlu terlebih dahulu mengemukakan cadangan pemulihan ke Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang dipengerusikan oleh EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar bagi menyemak dan menilai semula kos pemulihan serta latar belakang syarikat terlibat sebelum perkara ini dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk kelulusan.

  2. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pemulihan projek terbengkalai sekiranya tiada pemaju penyelamat berupaya memperolehi persetujuan 100% daripada pemilik tanah/pembeli.

    Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pemulihan projek terbengkalai sekiranya pemaju penyelamat gagal memperolehi persetujuan 100% daripada pemilik tanah/pembeli adalah melalui proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Dengan kaedah ini, pihak pemaju penyelamat perlulah menanggung kos pampasan ke atas pengambilan tanah pembeli terlibat bagi membolehkan projek dipulihkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.