Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

218) PROGRAM BLUE PRINT MEMBASMI KEMISKINAN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa banyakkah kelulusan yang telah diberikan di Dun Paya Jaras sejak 2008?

    Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi bagi golongan masyarakat individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan bagi membantu menjana serta meningkatkan pendapatan keluarga. Antara lima (5) skop utama perusahaan adalah seperti jahitan, perniagaan makanan, perniagaan runcit, pengasuh kanak-kanak dan kraftangan.

    Sehingga Julai 2015, jumlah penerima bantuan bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah seramai 2,389 orang. Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai statistik penerima bantuan mengikut DUN. Namun begitu, statistik jumlah penerima bantuan mengikut daerah dan kaum bagi tahun 2008 hingga tahun 2015 adalah seperti di JADUAL 5.

  2. Adakah kerajaan akan mempertimbangkan untuk perniagaan IT?

    Secara dasarnya, terdapat lima (5) skop utama perusahaan yang akan dipertimbangkan untuk kelulusan Jawatankuasa Pemilihan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan. Antaranya adalah seperti jahitan, perniagaan makanan, perniagaan runcit, pengasuh kanak-kanak dan kraftangan. Walau bagaimanapun, peralatan yang diluluskan juga adalah tertakluk kepada kesesuaian perusahaan dan kos peralatan.

    Kos peruntukan bagi setiap permohonan yang diluluskan adalah tidak melebihi RM5,000.00.  Walau bagaimanapun, perusahaan IT lazimnya melibatkan kos peralatan yang tinggi di mana ianya melebihi peruntukan asal yang ditetapkan. Justeru itu, ini menyebabkan kebanyakan permohonan yang melibatkan perusahaan IT tidak dapat dipertimbangkan/ diluluskan. Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan amat prihatin dan sentiasa komited dalam usaha membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. Justeru itu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bersedia meneliti semula sebarang permohonan yang melibatkan perusahaan IT serta kelulusan juga adalah tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dan kos peralatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.