Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

215) TANAH PERKUBURAN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah caruman Tabung Amanah Perkuburan yang telah dikutip oleh kerajaan mengikut daerah dari Tahun 2009 sehingga 2015.

    Jumlah kutipan caruman yang telah dikutip sejak tahun 2008 sehingga Julai 2015 adalah sebanyak RM38,072,890.45 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Lapan Juta Tujuh Puluh Dua Ribu Lapan Ratus Sembilan Puluh Dan Sen Empat Puluh Lima Sahaja). Jumlah kutipan caruman adalah seperti di LAMPIRAN A.

     

  2. Senaraikan permohonan dana caruman tabung amanah perkuburan yang telah diluluskan serta lokasi dan jumlah peruntukan bagi setiap permohonan tersebut.

    Jumlah keseluruhan peruntukan yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Perkuburan adalah berjumlah RM RM18,924,115.88 (Ringgit Malaysia: Lapan Belas Juta Sembilan Ratus Dua Puluh Empat Ribu Satu Ratus Lima Belas Dan Sen Lapan Puluh Lapan Sahaja). Senarai permohonan yang telah diluluskan adalah seperti di LAMPIRAN B.

  3. Apakah prosedur untuk memohon dana pengurusan tanah perkuburan?

    Penubuhan Akaun Amanah Perkuburan telah pun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 12/2001 bertarikh 2 Mei 2001. Akaun ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun yang dianggotai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Selangor, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor, Bendahari Negeri Selangor, semua Pentadbir Tanah Daerah dan Timbalan Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan selaku urus setia.

    Akaun ini ditubuhkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan caruman perkuburan yang dikutip daripada pemaju dan pemilik tanah yang membangunkan tanah kurang daripada 250 hektar  (500 ekar) untuk perumahan / kediaman atau pembangunan bercampur setelah pemberimilikan tanah atau tukar syarat tanah diluluskan.

    Pengenaan bayaran caruman Tabung Amanah Perkuburan adalah seperti berikut:

    Daerah Kadar Yang Diluluskan
    i.          Petaling

    ii.        Klang

    iii.       Gombak

    iv.       Hulu Langat

    v.        Sepang

    vi.       Kuala Langat

    RM500.00 setiap petak rumah
    i.          Kuala Selangor

    ii.        Sabak Bernam

    iii.       Hulu Selangor

    RM300.00 setiap petak rumah
    Pembangunan di kawasan rizab Melayu sama ada pegangan Melayu atau pegangan bukan Melayu Dikurangkan 50% daripada kadar caruman yang telah ditetapkan

    Semua perbelanjaan dari Akaun ini adalah untuk pembiayaan penyediaan tapak perkuburan atau kos pengambilan tanah bagi perkuburan Orang Islam dan Bukan Islam atau urusan pembayaran berkaitan dengannya serta pengurusan pembangunan perkuburan.

    Pihak Urus Setia Akaun Amanah Perkuburan menerima permohonan bersama dengan kos projek / program daripada Pentadbir Tanah Daerah dan juga Pihak Berkuasa Tempatan. Seterusnya permohonan akan diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan mesyuarat Jawatankuasa Akaun.

Lampiran

Tiada Lampiran.