Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
187) TANAH YANG DISERAHKAN KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Tanah bagi tujuan pembinaan sekolah, hospital dll telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Siapakah yang bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan tersebut?
Untuk tanah-tanah yang telah diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) maka hak PTP sebagai pemilik tanah adalah tertakluk dalam peruntukkan Seksyen 44, Kanun Tanah Negara, yang antaranya hak untuk penyenggaraan dan pemeliharaannya. Bagi tanah yang diwartakan untuk kegunaan Kerajaan Persekutuan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk mengawal dan menguruskan tanah tersebut seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 85(4). Walau bagaimanapun, bagi tanah-tanah yang telah diperuntukkan namun belum diberimilik atau diwartakan, tanah tersebut masih menjadi tanah kerajaan dan tanggungjawab tersebut adalah di bawah Kerajaan Negeri.
-
Berapakah tempoh perlaksanaan projek kemudahan awam tersebut?
Tiada tempoh masa diberikan ke atas pelaksanaan projek kemudahan awam diberikan. Walau bagaimanapun, bagi menjaga kepentingan tanah-tanah yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan awam seperti balai polis, hospital dan sekolah, Kerajaan Negeri baru-baru ini telah menetapkan supaya memasukkan ‘Sekatan Kepentingan’ dalam hakmilik tersebut agar Syarat Nyata Tanah dipatuhi mengikut tujuan kemudahan awam seperti yang telah diluluskan sahaja.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri boleh mengambil semula tanah yang telah diserahkan, jika ada kegunaan untuk pembangunan?
Merujuk kepada Perkara 85(3), jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menawar atau melepaskan tanah itu kepada Negeri dengan syarat bahawa Negeri itu membayar kepada Persekutuan nilai pasaran dan amaun yang disebutkan bagi apa-apa pemajuan yang dilakukan semasa tanah itu digunakan bagi maksud persekutuan dan amaun yang dibayar dalam kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri.