Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
150) KETELUSAN KERAJAAN NEGERI DALAM ENAKMEN KEBEBASAN MAKLUMAT (FOI)
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah jaminan Kerajaan Negeri tidak menyalahgunakan maklumat yang diperolehi daripada pihak ketiga?
Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat ini sepenuhnya termasuk menjaga integriti maklumat yang disalurkan. Pegawai-pegawai Maklumat Jabatan yang telah dilantik bagi menguruskan perihal Enakmen ini telah diberikan penjelasan dan tanggungjawab masing-masing dalam memelihara maklumat yang diterima atau disalurkan.
Berdasarkan Seksyen 13, Enakmen yang sama, memperuntukkan setiap jabatan boleh enggan menunjukkan sama ada ia mempunyai maklumat, atau enggan untuk menyampaikan maklumat, di mana jika berbuat demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga, melainkan sekiranya:
-pihak ketiga memberi persetujuan secara bertulis terhadap penzahiran maklumat; atau
-orang yang membuat permohonan adalah penjaga yang sah kepada pihak ketiga atau waris yang sah atau pentadbir yang sah pihak ketiga yang telah meninggal dunia.
Berdasarkan kepada Enakmen yang dinyatakan seperti di atas, jelas menunjukkan bahawa sebarang maklumat daripada pihak ketiga yang telah mendapat persetujuan secara bertulis sahaja akan didedahkan kepada pemohon. Oleh itu, tidak akan berlaku kejadian penyalahgunaan maklumat daripada pihak ketiga.
-
Apakah Kerajaan Negeri telus melaksanakan FOI terutama membabitkan isu besar seperti Perjanjian Persefahaman (MoU) Penstrukturan Industri Air?
Sebagaimana pernyataan di atas, Pentadbiran Kerajaan Negeri komited dan telus dalam menguruskan perihal Enakmen ini termasuk isu berkaitan penstrukturan industri air di Negeri Selangor yang melibatkan Kerajaan Persekutuan. Pada dasarnya, Pentadbiran ini bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyalurkan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh pemohon sekiranya maklumat-maklumat berkenaan berhubung kait dengan agenda pembangunan atau kelestarian hidup rakyat di Negeri Selangor sahaja.