Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

130) KECERIAAN KAMPUNG

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi mengindahkan dan menceriakan suasana kampung termasuk mewujudkan kampung tercantik dan meningkatkan sosioekonomi warga kampung?

    Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Pertandingan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Negeri Selangor yang bertujuan untuk melahirkan kampung tradisi yang terbaik melalui pelbagai aspek penilaian yang dipertimbangkan.

    Pertandingan ini adalah kali kedua diadakan di Negeri Selangor selepas tahun 2011 di mana pada tahun tersebut sebanyak dua (2) kategori dipertandingkan iaitu Pertandingan Ketua Kampung Tradisi Terbaik dan Pertandingan Rumah Tradisional Tercantik.

    Pada tahun 2015, sebanyak dua (2) kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Anugerah Usahawan Desa Terbaik.

    Terdapat tujuh (7) kriteria yang digunakan untuk mengiktiraf sesebuah kampung iaitu kepimpinan, pendidikan, ekonomi, kebersihan, keindahan, kerohanian dan sivik serta teknologi maklumat. Selain itu, keaktifan JKKK turut diambil kira terutama bagi aspek penyediaan profil kampung yang dikemaskini, pewujudan biro-biro dalam organisasi JKKK dan dari segi pengurusan mesyuarat JKKK di kampung tersebut.

    Bagi meningkatkan sosioekonomi warga kampung, pelbagai aktiviti telah dirancang dan telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri iaitu melalui program “1 Daerah 1 Inkubator”, “Program Pembangunan Usahawan Desa : Kursus Kemahiran Jangka Pendek”, dan “Program Pembangunan Usahawan Desa : Industri Komuniti Kampung”. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pembinaan Dataran Niaga untuk dijadikan medan bagi memasarkan produk-produk kampung dan sebagai tempat untuk penduduk kampung berkongsi idea dan maklumat tentang perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.