Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
55) RANCANGAN MALAYSIA KE-11 (RMK-11) NEGERI SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan projek-projek dan nilainya di Selangor berdasarkan RMK-11?
Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) Negeri Selangor adalah tempoh pelaksanaan projek pembangunan bagi tempoh lima (5) tahun iaitu dari tahun 2016 sehingga tahun 2020. Penyediaan RMKe-11 Negeri Selangor akan tertumpu pada agenda untuk merancakkan pertumbuhan pembangunan di Negeri Selangor menjelang tahun 2020 dengan menitikberatkan objektif dan sasaran Kerajaan Negeri berpandukan kepada Pelan Halatuju Pembangunan RMKe-11 Negeri Selangor.
Bagi maksud tersebut, dianggarkan sejumlah RM7 billion akan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembangunan jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Negeri diperlukan bagi RMKe-11 Negeri Selangor.
Semua permohonan projek pembangunan RMKe-11 yang dikemukakan oleh jabatan hanya layak dipertimbangkan dan diberi keutamaan disenaraikan dalam RMKe-11 Negeri Selangor sekiranya permohonan tersebut mengandungi kriteria dan keperluan perkara berikut:
- projek sambungan RMKe-10;
- ringkasan lengkap projek (bagi projek baru); dan
- menepati Pelan Halatuju Pembangunan RMKe-11 Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor juga menolak permohonan perbelanjaan pembangunan yang bersifat operasi seperti pembinaan bangunan pejabat baru. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan memberi lebih tumpuan terhadap pelaksanaan projek-projek pembangunan yang mempunyai nilai tambah (value added) dari segi penjanaan ekonomi.
-
Sejauh manakah impak projek tersebut kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Selangor?
Berdasarkan Pelan Halatuju Pembangunan RMKe-11 Negeri Selangor tersebut juga dijangka akan memberi impak sosioekonomi kepada rakyat di Negeri Selangor berasaskan visi seperti berikut:
- Teknologi dan infrastruktur moden dan terkini;
- Modal insan berkemahiran tinggi;
- Pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seimbang;
- Merancakkan pelaburan dan perniagaan di Negeri Selangor;
- Penyampaian perkhidmatan awam ke arah pembangunan komuniti kelas pertama; dan
- Perumahan mampan dalam persekitaran kondusif.