Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

302) PERKHIDMATAN BAS PERCUMA SELANGORKU

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah matlamat utama Perkhidmatan Bas Percuma Selangorku dilancarkan?

    1. Kerajaan Negeri amat prihatin untuk membantu mengurangkan bebanan kewangan di kalangan rakyat berpendapatan rendah yang menghadapi peningkatan ekonomi dan sara hidup masa kini. Oleh itu, inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan Bas Selangorku yang dilancarkan pada 1 Julai 2015 yang lalu adalah bermatlamat untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam secara percuma kepada rakyat dalam membantu mengurangkan bebanan kewangan serta menambahbaik perkhidmatan bas di sesetengah kawasan yang dahulunya tiada perkhidmatan bas. Selain itu, Bas Selangorku mensasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas, pelajar sekolah, penuntut kolej dan universiti serta orang awam berdasarkan sambutan dan maklumbalas yang diterima amat menggalakkan daripada perkhidmatan bas komuniti yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Pelaksanaan Bas Selangorku juga dijangka memberi kesan yang positif terhadap penggunaan pengangkutan awam di Negeri Selangor di samping dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan
  2. Sila nyatakan berapakah peruntukan yang disalurkan dan PBT yang terlibat?

    Perkhidmatan Bas Selangorku fasa pertama berjaya dilancarkan dan dilaksanakan di tiga kawasan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada ketiga-tiga PBT yang terlibat adalah berjumlah RM3,481,676.00. Pecahan peruntukan mengikut PBT adalah seperti Jadual 1:

    Jadual 1:Pecahan Peruntukan Bas Selangorku Mengikut PBT

     

    PBT LALUAN JUMLAH BAS KOS
    MBSA 1 4 RM1,266,064.00
    MPSJ 1 4 RM1,266,064.00
    MPK 1 3 RM 949,548.00

     

  3. Sila huraikan secara terpernci apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang sistem pengangkutan Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri cakna terhadap keperluan rakyat dengan menyediakan kemudahan perkhidmatan bas awam untuk kegunaan masyarakat khususnya yang berpendapatan sederhana rendah seperti warga industri, pelajar, kakitangan kerajaan dan mereka yang memerlukan perkhidmatan bas ini untuk urusan harian. Perkhidmatan bas komuniti telah mula beroperasi untuk kemudahan orang ramai pada Julai 2008 di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Setelah ia mendapat sambutan, program ini dikembangkan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 4 Mac tahun lalu. Konsep bas komuniti ini telah diperluaskan lagi dengan pelaksanaan perkhidmatan bas percuma ‘Bas Selangorku’ hasil inisiatif Kerajaan Negeri di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan akan diperluaskan juga ke kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

     

    Dalam masa yang sama, hasil Kajian Pengangkutan Awam Negeri Selangor oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Kerajaan Negeri dalam usaha memperluaskan perkhidmatan bas perantara (feeder bus) di kawasan MBPJ, MBSA, MPSJ, MPK dan MPAJ serta menaiktaraf perkhidmatan bas mini sebagai bas perantara.

     

    Dengan mengambilkira pembangunan jangka panjang, Kerajaan Negeri dalam proses merangka Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor bagi memastikan penyediaan perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan awam selari dengan pembangunan Negeri Selangor secara menyeluruh.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.