Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

290) LEBUHRAYA KIDEX

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Kerajaan Negeri status Lebuhraya KIDEX setelah pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Awam dilaksanakan?

    Kerajaan Negeri mempunyai pendirian yang terbuka dalam menyelesaikan masalah pengangkutan di negeri Selangor, khasnya kepada penduduk serta kawasan- kawasan yang terjejas akibat daripada pembatalan projek lebuhraya KIDEX. Pembatalan projek ini adalah sebagaimana yang dimahukan oleh penduduk tempatan. Perbincangan untuk menyediakan alternatif kepada pembatalan KIDEX sedang dan akan terus dijalankan dengan pihak-pihak yang berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan juga pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) untuk melihat sebarang kemungkinan yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan

  2. Apakah pandangan Kerajaan Negeri mengenai projek pembinaan lebuhraya baru yang lain seperti DASH, SKIP, EKVE dan SUKE yang dalam perancangan untuk dibina?

    Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebarang pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam Negeri Selangor selagi mana ia mendatangkan keuntungan dan kebaikan kepada rakyat. Namun, sebarang pelaksanaan pembangunan projek lebuh raya di Negeri Selangor perlu mematuhi peraturan Seksyen 20 (A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pemajuan selain menurut kebenaran merancang yang diberikan kepadanya. Seksyen 20 (A) Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) menghendaki setiap jabatan atau agensi kerajaan berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) berkenaan aktiviti pemajuan yang hendak dijalankannya. Ini adalah bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum berkenaan dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri juga menggunapakai Seksyen 18(i) Akta 172 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan sesuatu tanah atau bangunan digunakan melainkan menurut Rancangan Tempatan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan supaya setiap pembangunan ditelitikan terlebih dahulu oleh jabatan dan agensi yang telah dipertanggungjawabkan di peringkat Negeri sebelum sebarang

     

    penelitian oleh Pihak Berkuasa Negeri. Kuasa-kuasa ini telahpun diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) dan bidang kuasa Kerajaan Negeri untuk menyelaras Pentadbiran Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan).

    Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, dasar pembangunan berkualiti rakyat dipeduli akan tetap menjadi teras dalam setiap pembangunan di negeri Selangor. Kerajaan Negeri tidak pernah menolak sebarang pembangunan asalkan hasilnya dapat memberi keselesaan dan dapat dinikmati oleh rakyat. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan hanya mempertimbangkan permohonan bagi pelaksanaan mana-mana lebuh raya di Negeri Selangor dengan syarat-syarat seperti berikut:

    • Kajian Impak Trafik (Traffic Impact Assesment – TIA) mestilah menguntungkan kepada pengguna lebuh raya dan juga penduduk sekitar dengan mengambilkira jajaran yang memberikan manfaat terbaik;
    • Pendedahan kepada umum tentang kadar tol termasuklah cadangan kenaikannya dan juga kadar pulangan pelaburan (return of investement – ROI); dan
    • Pendedahan kepada umum ke atas perjanjian

     

    Maka, mana-mana pihak yang terlibat dalam apa jua bentuk pembangunan di Negeri Selangor mestilah mematuhi setiap proses dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seumpamanya. Pematuhan kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan adalah sangat perlu supaya Kerajaan Negeri dapat mempertahankan rakyat daripada menerima masalah-masalah pencemaran, kesihatan, banjir, kemalangan dan sebagainya.

    Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberi penekanan dan mengambil langkah-langkah berikut:

    1. Perjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu, tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi;
    2. Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan;
    • Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal (early termination clause) iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai projected profit bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal; dan
    1. Pra-syarat tambahan seperti perjanjian konsesi tidak terikat dengan

    Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Lampiran

Tiada Lampiran.