Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

281) PEJABAT INTEGRITI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan-peranan Pejabat Integriti? Adakah ia bebas sepenuhnya dari campur tangan pihak eksekutif?

    Pengurusan isu-isu berkaitan integriti penjawat awam di agensi kerajaan adalah di bawah tanggungjawab Unit Integriti yang ditubuhkan sejajar dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 : Penubuhan Unit Integriti Di Semua Agensi Awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Tujuan utama penubuhan Unit Integriti ini adalah untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh hatta meningkatkan semangat patriotisme. Inisiatif ini akan dapat membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi di kalangan penjawat

     

    Unit Integriti bertanggungjawab untuk melaksanakan enam (6) fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan serta tatatertib.

     

    Dari segi struktur organisasi, Unit Integriti ini diletakkan secara terus di bawah YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan diketuai oleh seorang Ketua Penolong Setiausaha Gred M52. Pelaporan berkaitan pelaksanaan aktiviti dikemukakan terus kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan pelaporan berkala kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap empat (4) bulan sekali.

  2. Adakah Pegawai Pejabat Hisbah (Ombudsman) telah diwujudkan di Pejabat Integriti? Jika ya, sila namakan. Jika tidak, mengapa?

    Kita menyedari mara bahaya rasuah. Ianya ibarat barah jika tidak dikawal dan dibanteras akan melumpuh bahkan boleh membunuh pentadbiran kerajaan. Selain dari peranan besar yang dimainkan oleh SPRM kerajaan negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk membudayakan integriti dan pertanggungjawaban. Penubuhan SELCAT adalah sebahagian dari langkah yang telah dilaksanakan untuk melaksanakan prinsip bertanggungjawab dan ketelusan di kalangan penjawat awam Negeri Selangor. Hasil dari kegiatan SELCAT kesedaran terhadap integriti dan pertanggungjawaban kini semakin meningkat. Namun kita juga menerima cadangan untuk menambah langkah-

     

    langkah untuk meningkatkan budaya integriti dan pertanggungjawaban. Antara cadangan tersebut adalah untuk menubuhkan pejabat ombudsman atau hisbah yang bebas di mana semua aduan rasuah, salahguna kuasa dan ketidaktelusan akan disiasat. Kerajaan negeri menyambut baik cadangan tersebut dan telah mengambil langkah kea rah perlaksanaannya. Kerajaan negeri telah meminta beberapa pihak untuk mengemukakan kertas cadangan tentang struktur dan bidang kuasa badan tersebut untuk dibawa kepada MMKN untuk dibincangkan dengan teliti.

  3. Berapakah kakitangan dalam Pejabat Integriti?

    Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mempunyai sebelas (11) orang kakitangan, termasuklah:

     

    • Satu (1) orang Ketua Unit Integriti
    • Satu (1) orang Pegawai Siasatan dari SPRM
    • Tiga (3) orang Penolong Setiausaha
    • Empat (4) orang Penolong Pegawai Tadbir; dan
    • Dua (2) orang Pembantu

Lampiran

Tiada Lampiran.