Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
278) PERANCANGAN BANDAR
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri merancang membangunkan sesebuah kawasan baharu?
Kerajaan Negeri Selangor merancang membangunkan kawasan baru berdasarkan kepada Rancangan Pemajuan yang disediakan iaitu Rancangan Struktur Negeri (RSN) di peringkat Negeri dan Rancangan Tempatan (RT) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Setiap perancangan dan aktiviti pembangunan di peringkat Negeri akan mengambilkira dasar-dasar dan cadangan strategik RSN meliputi perkara- perkara seperti :
- Taburan dan unjuran
- Pemajuan dan penggunaan tanah
- Langkah memperelok alam sekitar
- Perhubungan dan lalu lintas; dan
- Peningkatan kesejahteraan hidup, sosio ekonomi dan pertumbuhan ekonomi.
Seterusnya di peringkat PBT Rancangan Tempatan (RT) disediakan mengenalpasti kawasan baru yang berpotensi untuk dibangunkan dengan menetapkan zoning yang sesuai di dalam peta cadangan guna tanah secara lebih terperinci.
RSN dan RT yang mendapat persetujuan Kerajaan Negeri menjadi rujukan Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ajensi ajensi peringkat negeri dan persekutuan, penggerak projek, pemaju dan orang ramai yang bercadang memajukan sesuatu kawasan.
Oleh itu setiap perancangan bagi membangunkan sesebuah kawasan baru perlu mematuhi kedua dua Rancangan Pemajuan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab untuk membangun atau memajukan kawasan baru perlu mematuhi dasar-dasar perancangan fizikal yang telah ditetapkan dalam RSN serta mematuhi perancangan guna tanah, zoning dan garis panduan yang ditetapkan dalam RT.
Contohnya untuk membangunkan sebuah bandar baru yang mengandungi kawasan perumahan, perniagaan, industri dan aktiviti aktiviti lain, perlu mematuhi peta cadangan yang ditentukan di peringkat RT dan mendapatkan kelulusan kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT).
Manakala bagi kawasan pembangunan yang melebihi 100 hektar atau menjana 10,000 penduduk, cadangan pembangunan perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) dan Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk mendapat nasihat tentang aspek perancangan peringkat negeri dan persekutuan sebelum PBPT memberi kelulusan kebenaran merancang.
-
Siapakah yang bertanggungjawab merancang dasar pembangunan sesebuah bandar di Selangor?
Sebagaimana dijelaskan di dalam jawapan kepada soalan pertama Yang Berhormat, tanggungjawab dalam merancang dasar pembangunan sesebuah bandar di Selangor adalah melalui Rancangan Struktur Negeri (RSN) yang disediakan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD) dan Rancangan Tempatan (RT) yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT)
Penyediaan kedua-dua Rancangan ini adalah mengikut peruntukan dan proses seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172). Pendekatan penyediaan RS dan RT ini adalah secara holistik dan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak termasuk jabatan dan ajensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), Ahli Parlimen dan ADUN, pemimpin masyarakat, pihak-pihak berkepentingan dan orang awam.
Penglibatan semua pihak ini bermula di peringkat awal penyediaan melalui mesyuarat, taklimat, bengkel, Focus Group Discussion – FGD (dengan izin) dan lain-lain sesi perbincangan. Kandungan dan cadangan RSN dan RT ini juga melalui proses publisiti membolehkan semua pihak berkepentingan mengemukakan pandangan, cadangan dan bantahan.
Kedua dua dokumen ini menjadi rasmi dan sah mengikut perundangan dengan kelulusan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) diikuti dengan persetujuan dan pewartaan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)
Pada masakini, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2020 yang diwartakan pada 14 Jun 2007 (No. Warta 1541) menjadi asas panduan kepada cadangan dan aktiviti pembangunan yang dijalankan. Di samping itu Pihak JPBD sedang sedang memuktamadkan RSN 2035 yang disediakan selaras dengan Rancangan Lima Tahun Malaysia untuk menggantikan RSN 2020 yang akan berkuatkuasa pada tahun 2016.
Manakala kesemua 12 PBT di Negeri Selangor, telah mempunyai RT yang menjadi panduan dalam merancang dan mengawalselia pembangunan fizikal di kawasan masing-masing