Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
267) TARIF AIR SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah faktor-faktor yang menentukan tarif air di Selangor?
Di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS, terdapat lima komponen utama yang menjadi asas di dalam formula pengiraan tarif seperti berikut:-
- Hasil yang dikutip (Revenue)
- Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure (CAPEX))
- Pembelian Air Terawat (Purchase of Treated Water)
- Kos Pengagihan (Distribution Cost)
- Kadar Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water (NRW))
- Melalui pengambilalihan operasi SYABAS, Puncak Niaga dan ABASS oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), rawatan dan agihan akan dikendalikan secara holistik. Melalui kaedah holistik ini, tidak ada lagi faktor Pembelian Air Terawat di dalam pengiraan tarif dan ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing).
Di bawah operasi baru, Air Selangor tidak di beban dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh PAAB. Dengan kaedah ini, kos pembangunan tidak akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan tarif. Air Selangor perlu membayar Rental Fee kepada PAAB yang mana kadarnya akan ditentukan setelah Facility Agreement antara Air Selangor dan PAAB dimuktamadkan
-
Adakah Kerajaan Negeri akan menaikkan tarif selepas penstrukturan industri air?
Tarif air dikaji dan dinaikkan terakhir adalah pada tahun 2006. Sejak dari itu, selama 9 tahun tidak ada sebarang kenaikan. Jika merujuk kepada Perjanjian Konsesi, SYABAS telah memohon sebanyak dua kali kenaikan tarif dan telah disusuli dengan satu lagi permohonan kenaikan untuk tahun 2015. Dengan mengambil kira tiga kali kenaikan tarif seperti di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, rakyat akan dibebani dengan kenaikan yang dianggarkan berjumlah 105% berbanding dengan tarif yang sedang dinikmati sekarang. Namun demikian, semenjak tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor berpendirian untuk tidak mempertimbangkan permohonan pelarasan tarif yang dikemukakan oleh SYABAS. Ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti implikasi ke atas rakyat sekiranya tarif dinaikkan dalam tempoh terdekat ini. Kerajaan Negeri sedang membincangkan dengan pihak Air Selangor untuk mengkaji pendirian Kerajaan Negeri. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa Air Selangor dapat memberikan perkhidmatan bekalan air yang cekap dan efisien. Namun sebarang langkah untuk menetapkan kadar tarif akan mengambil kira bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan masa yang sesuai untuk kenaikan
-
Apakah jaminan kadar tarif mampu ditanggung oleh rakyat Selangor?
Usaha dan matlamat Kerajaan Negeri Selangor untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor adalah bertujuan semata-mata untuk memastikan kepentingan rakyat
Kesemua operator rawatan air dan operator agihan yang ada pada ketika ini adalah merupakan syarikat swasta yang mana bagi syarikat swasta keuntungan merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan. Dalam kerakusan mengejar matlamat mengaut keuntungan bagi mengayakan segelintir kapitalis, kepentingan pengguna perkhidmatan air yang merupakan rakyat Negeri Selangor tidak diutamakan.
Keadaan ini berbeza sekiranya pengurusan industri perkhidmatan air berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang mana sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, keuntungan bukanlah matlamat utama. Sebaliknya dalam merealisasikan matlamat “Pembangunan Berkualiti, Rakyat di Peduli” dan meneruskan pemberian 20 meter padu air percuma kepada pengguna, Kerajaan Negeri Selangor mengutamakan rakyat mendapat perkhidmatan air yang effisien disamping membayar harga perkhidmatan dalam bentuk tarif yang munasabah.
Apabila Air Selangor mengambil alih operasi SYABAS sepenuhnya, perjanjian konsesi sedia ada antara Kerajaan Negeri Selangor dan Pemegang Konsesi seperti SYABAS , Puncak Niaga dan ABASS akan terbatal. Dalam mengoperasikan pengagihan dan rawatan air, Air Selangor adalah tertakluk kepada kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air,
2006 (Akta 655). Dengan kaedah ini, kawal selia oleh SPAN boleh memastikan hanya one time profit di kenakan oleh Air Selangor yang mana keuntungan yang akan dijana adalah tidak melampaui.
Dari segi operasinya, Air Selangor akan beroperasi secara holistik dan ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing) dan ini dapat memastikan kos operasi yang tidak membebankan. Pada masa yang sama, Air Selangor tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi. Ini dapat memastikan kos operasi Air Selangor tidak membebankan dan seterusnya kadar tarif munasabah dapat dicapai.
Pada masa ini belum ada mana-mana undang-undang bertulis yang diwujudkan bagi mengekang elemen transfer pricing. Walau bagaimanapun, melalui kaedah pemantauan dan kawal selia oleh SPAN di bawah Akta 655, di dalam meneliti permohonan pelesenan, pihak SPAN boleh membuat peraturan dan garis panduan untuk mengekang elemen transfer pricing ini.
Selain dari itu, melalui kawal selia oleh SPAN juga boleh mengekang pemindahan harga (transfer pricing) di mana setiap kos yang dibelanjakan oleh Air Selangor akan dipantau langsung oleh mekanisme yang diperuntukkan di bawah Akta 655 dan kawal selia ini dapat memastikan kos operasi yang munasabah.
Dengan keuntungan yang tidak melampau dan kos operasi yang setimpal, kadar tarif yang munasabah dapat dikekalkan.